Teknologi ketenteraan adalah teknologi untuk digunakan dalam peperangan. Ia terdiri daripada jenis teknologi yang bersifat ketenteraan dan bukan awam dalam perlaksanaan.
Sejak permulaan konflik di Ukraine, peperangan dron telah menjadi norma baharu yang tidak dapat dielakkan. Di sebalik bunyi degungan rendah enjin yang dahulunya mungkin dianggap ancaman kecil, penggunaan dron komersial yang diubah suai kini membawa makna yang sangat berbeza dan menggerunkan di medan perang. Dron siri ‘Geran’, satu nama yang kini sinonim dengan kemusnahan infrastruktur tenaga Ukraine dan dilihat sebagai senjata kos rendah Rusia, sedang melalui evolusi senyap tetapi signifikan.
Geran-2, yang diasaskan daripada reka bentuk Shaded-136 buatan Iran, telah lama berfungsi sebagai tulang belakang serangan jarak jauh Rusia. Dikenali sebagai ‘loitering munition’ atau ‘dron kamikaze’ yang sering digelar ‘moped terbang’ kerana bunyi enjinnya yang bising serta profil penerbangan yang rendah dan perlahan. Namun, laporan perisikan terbaharu mengenai pembangunan varian Geran-4 dan Geran-5 menandakan satu evolusi yang jauh lebih serius.
Perkembangan ini membuktikan bahawa Moscow bukan lagi sekadar mengimport teknologi, malah sedang mengadaptasi dan menaik taraf platform kos rendah ini menjadi senjata pelancaran udara (airborne launch) yang sofistikated. Langkah ini bakal mengubah dinamik pertempuran udara di Eropah Timur secara drastik.
Lompatan Fizik Pertempuran: Dari Darat ke Udara

Dron baharu yang dinamakan Geran-5, mempunyai sedikit persamaan aerodinamik dengan Geran-2 atau 3. Rupanya lebih menyerupai peluru berpandu jelajah, berukuran kira-kira 6 meter panjang dan sehingga 5.5 meter lebar sayap. Foto: Defence Intelligence of Ukraine
Perubahan paling ketara dalam varian Geran-4 dan Geran-5 berbanding pendahulunya adalah kaedah pelancarannya. Jika Geran-2, dilancarkan dari darat menggunakan roket penggalak (Rocket Assisted Take-Off – RATO) dari trak kontena, varian baharu ini direka khusus untuk dilancarkan dari udara, mungkin melibatkan pesawat sokongan jarak dekat seperti Su-25.
Ini bukan sekadar perubahan logistik, tetapi satu lompatan fizik pertempuran. Dengan dilancarkan dari pesawat tempur pada ketinggian tinggi, dron ini tidak perlu membazirkan bahan api untuk fasa mendaki (climb phase).
Sebaliknya, ia memulakan penerbangan dengan tenaga kinetik dan potensi graviti yang tinggi. Ini membolehkan dron tersebut meluncur (glide) lebih jauh sebelum mengaktifkan enjinnya, sekali gus meningkatkan jangkauan operasi secara drastik.
Dalam persekitaran peperangan elektronik yang semakin padat, dron ini juga dilaporkan menerima naik taraf avionik, termasuk sistem navigasi inersia yang dipertingkat serta rintangan terhadap gangguan isyarat (jamming).
Spesifikasi Teknikal: Menghampiri Status Peluru Berpandu

Bangkai dron serangan Geran-5 Rusia yang baharu, digunakan Rusia buat kali pertama dalam serangan ke atas Ukraine, dipamerkan oleh Direktorat Perisikan Utama (HUR). Foto: Defence Intelligence of Ukraine
Secara teknikal, Geran-4 dan 5 kini berada di zon hibrid antara dron konvensional dan peluru berpandu krus bajet rendah. Geran-4, walaupun mengekalkan susun atur yang serupa dengan varian terdahulu, telah ditingkatkan beratnya kepada 450 kg. Dikuasakan oleh enjin turbojet, ia mampu mencapai kelajuan 500 km/j, jauh meninggalkan kelajuan varian omboh.
Manakala Geran-5 adalah “heavyweight” dalam siri ini dengan reka bentuk yang radikal—fiuslaj langsing dan sayap nisbah aspek tinggi menyerupai peluru berpandu moden. Dengan berat 850 kg dan kepala peledak 90 kg, ia mampu mencapai jarak 950 km pada kelajuan 600 km/j. Enjin turbojet yang digunakannya, walaupun lebih berkuasa, masih dikategorikan sebagai kos rendah berbanding enjin peluru berpandu “mewah”.
Lebih membimbangkan, wujud laporan bahawa platform ini mungkin diintegrasikan dengan keupayaan pertahanan diri, seperti membawa peluru berpandu udara-ke-udara jarak dekat (contohnya R-60). Ini menjadikan pintasan udara sangat berisiko bagi juruterbang Ukraine, satu konsep yang mirip dengan program “LongShot” Amerika Syarikat di mana dron bertindak sebagai platform senjata ofensif.
Strategi Kos Efektif dan Inovasi Rusia
Rusia jelas menyedari bahawa penggunaan peluru berpandu krus berprestasi tinggi seperti Kh-101 atau Kalibr yang bernilai berjuta dolar setiap satu untuk memusnahkan sasaran bernilai rendah adalah satu pembaziran strategik. Justeru, evolusi Geran mencerminkan inovasi pragmatik.
Dengan memanfaatkan komponen komersial yang diubah suai dan integrasi sistem tempatan, Rusia mengekalkan kelebihan serangan jarak jauh. Dalam peperangan berintensiti tinggi (war of attrition), kemampuan untuk menghasilkan senjata dalam jumlah besar sering menentukan tempo konflik.
Geran-4 dan Geran-5 dilihat sebagai jawapan kepada keperluan tersebut, iaitu keseimbangan optimum antara kos, keberkesanan dan kebolehsuaian.
Risiko operasi dan cabaran masa depan
Namun, taktik baharu ini bagaimanapun tidak lari daripada mempunyai risiko. Mengendalikan pesawat pejuang untuk melancarkan dron secara rutin akan meningkatkan jam penerbangan (flight hours) pada kerangka pesawat yang sudah sedia terbeban.
Setiap jam pesawat Sukhoi berada di udara, ia memerlukan kos penyelenggaraan dan bahan api yang tinggi. Adakah berbaloi menerbangkan pesawat canggih hanya untuk melepaskan dron murah?
Selain itu, kebergantungan kepada dron kos rendah masih terdedah kepada penambahbaikan balas oleh pihak lawan. Ukraine, dengan sokongan rakan antarabangsa, terus menyesuaikan taktik pertahanan, termasuk penggunaan sistem anti-dron berasaskan radar frekuensi rendah dan senjata tenaga terarah yang mungkin mampu meneutralkan ancaman ini.
Dari perspektif strategik, evolusi Geran mencerminkan pembelajaran institusi yang berterusan oleh tentera Rusia. Mereka bukan sekadar menggandakan pengeluaran, tetapi memperhalusi konsep penggunaan senjata. Ini memberi isyarat jelas bahawa dron bukan lagi senjata sampingan, sebaliknya elemen teras dalam doktrin serangan jarak jauh moden yang menuntut dunia Barat menilai semula strategi pertahanan udara mereka. -airtimes.my
#Airtimes #Geran-4 #Geran-5 #dron #KonflikUkraine #PeperanganDron #TeknologiKetenteraan #PertahananUdara #Rusia


















