KUALA LUMPUR, 26 Jul – Satu siasatan teliti perlu dilakukan terhadap tindakan seorang pegawai kerajaan yang menghantar surat kepada Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA).
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, perkara itu penting kerana melibatkan hal kedaulatan negara.
Katanya, surat itu seolah-olah menjemput campur tangan asing dalam hal ehwal negara.
“Ini menimbulkan banyak persoalan bagaimana surat ini boleh dikeluarkan atas arahan dan bolehkah pegawai tulis surat tanpa arahan orang atas. Ia isu yang patut disiasat dengan teliti kerana melibatkan kedaulatan negara.
“Sebab itu saya harap siasatan menyeluruh dilakukan,” katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.
Sebelum ini, sebuah portal melaporan seorang pegawai kerajaan telah menghantar surat kepada CIA bagi meminta Amerika Syarikat (AS) terus menyokong pentadbiran Datuk Seri Najib Razak jika BN menang mudah atau hanya meraih majoriti satu kerusi dalam PRU14.
Bagaimanapun, Najib mendakwa beliau tidak mengetahui mengenai surat tersebut.
Guan Eng juga menimbulkan persoalan sama ada wujud surat sama yang dihantar ke negara-negara lain.
“Sekarang kita tahu ada satu surat. Adakah wujud surat lain?
“Kita tak mahu seperti isu 1MDB yang asalnya semua orang cakap tak terima wang. Tetapi apabila dibongkar semua terima wang,” katanya.
