Komunikasi merupakan nadi kepada setiap operasi ketenteraan. Ia menjadi saluran utama yang menghubungkan pemerintah, pasukan dan anggota di medan pertempuran. Dalam era moden, komunikasi bukan lagi terbatas kepada penyampaian mesej melalui kabel atau radio taktikal. Ia kini merangkumi ruang siber dan spektrum elektromagnetik yang menjadi medan baharu dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Bagi Rejimen Semboyan Diraja (RSD) perkembangan ini melambangkan kesinambungan peranan penting rejimen ini dalam memastikan arahan, maklumat dan operasi pertahanan dapat disampaikan dengan pantas dan pasti. Sejak penubuhannya 73 tahun yang lalu, RSD telah melalui pelbagai fasa transformasi selaras dengan kemajuan teknologi komunikasi dan peperangan moden. Moto rejimen, “Pantas dan Pasti,” terus menjadi pegangan setiap warga semboyan dalam menggalas tanggungjawab sebagai tulang belakang komunikasi ketenteraan negara.
Dahulu, fokus utama anggota semboyan ialah memastikan talian radio dan sistem komunikasi medan berfungsi dengan lancar agar arahan dapat diterima dan dilaksanakan dengan pantas. Kini, peranan tersebut telah berkembang sejajar dengan keperluan peperangan abad ke-21. RSD bukan sahaja memastikan kelancaran komunikasi taktikal tetapi turut melindungi rangkaian daripada ancaman siber, gangguan elektromagnetik, dan ancaman peperangan informasi yang boleh menjejaskan keselamatan.

Sejajar dengan perkembangan semasa, medan elektronik dan alam maya merupakan salah satu medan tempur masa kini. FOTO: FB Rejimen Semboyan Diraja
Dalam konteks peperangan moden, ancaman tidak lagi datang dalam bentuk konvensional. Serangan boleh berlaku tanpa kesan kinetik, sebaliknya juga berpotensi dilancarkan melalui pencerobohan data, sabotaj siber, atau penyebaran maklumat palsu yang bertujuan melemahkan kepercayaan dan moral. Menyedari hakikat ini, RSD terus memperkukuh keupayaan melalui pengintegrasian Aktiviti Siber dan Elektromagnet (CEMA) bagi mempertingkatkan kesedaran situasi dan kesiagaan operasi Tentera Darat Malaysia.
Pendekatan CEMA menuntut gabungan kepakaran komunikasi, pertahanan siber dan peperangan elektronik di bawah satu sistem yang bersepadu. Dengan kemampuan mengawal spektrum elektromagnetik, melindungi infrastruktur komunikasi dan menangkis ancaman siber, RSD tetap komited dalam memastikan Tentera Darat kekal memiliki kelebihan maklumat (information superiority) dalam setiap misi. Kejayaan ini bukan hanya bergantung pada teknologi, tetapi pada kecekapan serta keupayaan anggota rejimen yang berdisiplin, berpengetahuan dan sentiasa bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan bentuk peperangan dan perkembangan teknologi.
Seiring dengan perkembangan landskap keselamatan global, rejimen ini terus melangkah ke hadapan sebagai peneraju transformasi digital Angkatan Tentera Malaysia. Tradisi kecemerlangan yang diwarisi sejak penubuhan kini diteruskan melalui keupayaan dalam bidang siber dan elektromagnetik, menjadikan RSD pasukan yang relevan dan penting dalam mendepani cabaran masa hadapan.
Setelah lebih tujuh dekad berbakti kepada nusa dan bangsa, RSD kekal teguh sebagai penghubung dan juga benteng pertahanan digital negara. Dalam apa jua keadaan, setiap warga RSD akan terus berpegang pada ikrar dan semangat pasukan yang menjadi kebanggaan bersama. Selamat Ulang Tahun ke-73 RSD.
“Sentiasa, Pantas dan Pasti”
******************************************************************************************************************************************************
Penafian: Artikel ini mewakili pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi mana-mana organisasi atau institusi yang disebut.
******************************************************************************************************************************************************
