Home Teknologi PertahananManta Ray UUV: Dron laut dalam baharu Tentera Laut U.S

Manta Ray UUV: Dron laut dalam baharu Tentera Laut U.S

by Zulfadhli Azmie
A+A-
Reset

Dalam era transformasi teknologi ketenteraan, perlumbaan membangunkan dron telah melangkaui ruang udara hingga ke perairan laut dalam apabila Amerika Syarikat memperkenalkan aset baharu yang berpotensi mengubah wajah peperangan maritim moden.

Dinamakan Manta Ray, kenderaan tanpa pemandu di bawah permukaan air atau Uncrewed Underwater Vehicle (UUV) ini merupakan dron dalam laut generasi terbaharu yang dibangunkan untuk memperluas keupayaan Tentera Laut Amerika Syarikat.

Digelar sebagai dron laut dalam berskala ekstrabesar, Manta Ray direka untuk melaksanakan misi jarak jauh dalam tempoh berpanjangan tanpa memerlukan kehadiran manusia di lokasi operasi yang menjadikannya pelengkap strategik kepada armada moden dan simbol kemajuan teknologi maritim abad ke-21.

Asal-usul program

Manta Ray, sebuah kenderaan bawah laut tanpa pemandu atau Uncrewed Underwater Vehicle (UUV) yang dibangunkan oleh Northrop Grumman di bawah program Agensi Projek Penyelidikan Lanjutan Pertahanan (DARPA), direka untuk beroperasi secara autonomi dalam tempoh berbulan-bulan tanpa memerlukan sokongan logistik manusia secara langsung.

Dengan reka bentuk ini bukan sahaja mengurangkan beban logistik armada berawak, malah membuka laluan kepada operasi lautan dalam yang lebih fleksibel.

Kehadiran UUV ini bukan sekadar menunjukkan kemajuan teknologi maritim Amerika Syarikat, tetapi mencerminkan perubahan hala tuju strategi kawalan laut dalam yang semakin menekankan penggunaan aset tanpa pemandu.

Ikan Pari manta dengan bentuk hidrodinamiknya yang anggun di lautan menjadi inspirasi utama kepada pembangunan UUV Manta Ray, sebuah dron bawah laut berautonomi tinggi yang direka untuk operasi jarak jauh. Foto: NOAA/George Schmahl

Reka bentuk dan ciri utama

Direka dengan bentuk menyerupai sayap lebar, Manta Ray UUV menekankan aspek hidrodinamik bagi mengurangkan rintangan air, meningkatkan kecekapan tenaga, dan menambah keupayaan manuver.

Manta Ray ini juga tergolong dalam kumpulan XLUUV, iaitu UUV yang terlalu besar untuk dilancar dari kapal atau kapal selam, dan sebaliknya dilancarkan dari dermaga.

Walaupun memiliki ukuran yang besar, Manta Ray boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian dan dihantar dalam lima kontena standard yang kemudian dipasang di lokasi misi akan dijalankan. Ini membolehkan penyebaran pantas tanpa bergantung kepada fasiliti infrastruktur tentera laut sedia ada.

Selain itu, bentuk berlian yang digunakan UUV ini bukan sahaja memberikan kelebihan dalam aspek kelicikan di bawah permukaan laut, tetapi juga mengurangkan kebarangkalian dikesan oleh sonar lawan.

Ciri ini menjadikan Manta Ray berpotensi digunakan dalam pelbagai misi strategik termasuk pengumpulan risikan, pengawasan kawasan, operasi anti-kapal selam, dan sokongan kepada operasi tempur laut dalam.

Salah satu kelebihan terbesar Manta Ray ialah sistem pergerakan berasaskan daya apungan yang membolehkannya meluncur di bawah laut dengan penggunaan tenaga yang amat rendah.

Lebih menarik lagi, dron ini dilengkapi teknologi penjanaan tenaga daripada sumber semula jadi laut, yang membolehkannya terus beroperasi tanpa memerlukan pengisian semula bahan api atau pengecasan dari darat.

Keupayaan ini memanjangkan tempoh operasi sehingga berbulan-bulan, membolehkan Manta Ray berada di lokasi operasi yang jauh dari pangkalan atau kapal sokongan. Pendekatan ini juga memberikan kelebihan taktikal yang signifikan, khususnya dalam operasi pengawasan di kawasan yang sukar dicapai oleh aset tentera laut konvensional.

Manta Ray UUV keluaran Northrop Grumman dipamerkan dengan reka bentuk biomimetik yang meniru bentuk pari manta, simbol inovasi teknologi maritim abad ke-21. Foto: Northrop Grumman

Ujian lapangan dan keupayaan operasi

DARPA memulakan program ini pada tahun 2020 dengan objektif jelas untuk membangunkan UUV laut dalam yang mampu beroperasi pada jarak jauh dan tempoh yang lama, serta memiliki ketahanan tinggi dalam persekitaran maritim yang mencabar.

Ujian penuh di laut telah dijalankan di perairan California Selatan antara Februari hingga Mac 2024, menunjukkan keberkesanan Manta Ray dari segi penyebaran, navigasi autonomi, dan ketahanan operasi jangka panjang.

Selain daripada aspek teknikal, pembangunan Manta Ray turut mengambil kira cabaran operasi laut dalam seperti biofouling, iaitu pertumbuhan organisma marin pada badan kenderaan, kakisan akibat pendedahan air masin berterusan, serta keperluan untuk mengekalkan sistem penderia berkuasa rendah bagi menjimatkan tenaga.

Semua faktor ini digabungkan bagi memastikan Manta Ray mampu kekal berada dalam keadaan operasi optimum tanpa memerlukan penyelenggaraan kerap.

Implikasi geopolitik

Manta Ray dapat dilihat sebagai pemangkin kepada generasi baharu kenderaan bawah laut tanpa pemandu yang menggabungkan autonomi tinggi, kebolehan tenaga kendiri, dan fleksibiliti muatan.

Keupayaan dron ini membuka peluang kepada Tentera Laut U.S untuk melaksanakan operasi jarak jauh tanpa mendedahkan kapal atau kru kepada risiko di kawasan berisiko tinggi.

Manta Ray dijangka menjadi pemangkin generasi baharu UUV dengan autonomi tinggi dan kebolehan operasi jarak jauh tanpa risiko kepada kapal induk atau kru. Foto: Northrop Grumman

Dari sudut geopolitik, aset seperti Manta Ray dapat digunakan sebagai instrumen kawalan maritim di kawasan strategik seperti Laut China Selatan, Lautan Hindi, atau Atlantik Utara, sekali gus memberi tekanan kepada kuasa maritim pesaing.

Kerjasama rapat antara DARPA dan Tentera Laut U.S dalam pembangunan Manta Ray memberi gambaran bahawa platform ini bukan sekadar ujian teknologi, tetapi calon kuat untuk integrasi dalam operasi sebenar pada masa hadapan. Sekiranya UUV ini mencapai tahap kesiapsiagaan operasi, Manta Ray bakal menjadi tonggak baharu dalam armada aset tanpa pemandu Amerika Syarikat.

Keupayaannya untuk bertahan di laut dalam dalam tempoh lama, menjalankan misi kompleks, dan kembali tanpa dikesan, memberi kelebihan strategik yang sukar ditandingi oleh sistem konvensional.

Dalam era peperangan maritim yang semakin bergantung kepada kelajuan maklumat, ketepatan sasaran dan operasi jarak jauh, Manta Ray membuktikan bahawa masa depan kawalan laut tidak lagi ditentukan oleh kapal perang dan kapal selam berawak semata-mata, tetapi juga oleh keupayaan aset tanpa pemandu yang mampu bertahan lama di laut dalam.

Aset seperti ini akan menjadi komponen utama dalam memastikan keunggulan maritim Amerika Syarikat berterusan di abad ke-21 sambil memperkukuh keupayaan strategik dan menyesuaikan diri dengan cabaran peperangan laut moden.-airtimes.my

#AirTimes #TeknologiPertahanan #UUV #DARPA #USNavy #PerangLautModen

Related Articles

Leave a Reply