Home Pertahanan dan Keselamatan Malaysia adakan mesyuarat trilateral, fokus persediaan rundingan damai Kemboja–Thailand

Malaysia adakan mesyuarat trilateral, fokus persediaan rundingan damai Kemboja–Thailand

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Malaysia menerajui usaha rundingan tiga hala bagi menyokong penyelesaian aman antara Kemboja dan Thailand berkaitan isu sempadan menjelang Mesyuarat General Border Committee (GBC) yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada 7 Ogos ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, mesyuarat trilateral yang diadakan secara persidangan video itu merupakan platform awal untuk memperhalusi persediaan kedua-dua negara terlibat sebelum rundingan rasmi dijalankan.

Beliau berkata, mesyuarat menerusi persidangan video itu disertai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Kemboja, Jeneral Tea Seiha, dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Natthaphon Narkphanit.

“Mesyuarat ini merupakan langkah penting dalam persiapan menghadapi mesyuarat General Border Committee (GBC) Kemboja-Thailand yang dijadualkan pada 7 Ogos 2025 di Kuala Lumpur,

“Dengan semangat ASEAN, Malaysia komited sepenuhnya untuk menyokong proses penyelesaian yang dipimpin oleh ASEAN secara aman selaras dengan nilai-nilai serantau yang kita kongsi bersama,” katanya dalam hantaran di laman Facebook, pada Sabtu.

Mesyuarat trilateral diadakan menerusi persidangan video, disertai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Kemboja, Jeneral Tea Seiha, dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Natthaphon Narkphanit.

Mesyuarat itu turut dihadiri, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Mohd Yani Daud.

“Mesyuarat ini merupakan langkah penting sebagai persediaan menjelang Mesyuarat General Border Committee (GBC) Kemboja–Thailand yang dijadualkan berlangsung pada 7 Ogos ini di Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, mesyuarat GBC itu akan turut disertai pemerhati dari Malaysia, Amerika Syarikat dan China.

Mohamed Khaled berkata, sebelum GBC, satu siri mesyuarat awal antara wakil kedua-dua negara akan diadakan dari 4 hingga 6 Ogos bagi memantapkan persiapan rundingan.

“Perbincangan ini menggambarkan komitmen pihak-pihak untuk berunding secara aman dan dialog yang konstruktif,

“Semoga ia menyumbang ke arah tanggungjawab bersama kita untuk memelihara keamanan dan kestabilan di rantau ASEAN. Malaysia bersedia untuk memastikan kelancaran dan menyokong setiap langkah proses aman ini secara neutral,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilaporkan akan memudah cara mesyuarat GBC antara Thailand dengan Kemboja di Kuala Lumpur dari 4 hingga 7 Ogos ini.

Menurut kenyataan Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan, Markas Angkatan Tentera Malaysia, mesyuarat GBC itu bertujuan menyelesaikan pertikaian sempadan antara dua negara berkenaan, sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata yang dimeterai di Malaysia pada 28 Julai lalu.-airtimes.my

#pertahanan #Malaysia #Kemboja #Thailand #rundingandamai #airtimes

 

Leave a Reply