Home Pertahanan dan Keselamatan ATM mudah cara rundingan damai Thailand-Kemboja di Kuala Lumpur

ATM mudah cara rundingan damai Thailand-Kemboja di Kuala Lumpur

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memudah cara Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (General Border Committee, GBC) antara Thailand dan Kemboja di ibu negara pada 4 hingga 7 Ogos ini.

Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan memaklumkan, mesyuarat ini merupakan sebahagian daripada langkah diplomasi ketenteraan dalam menangani pertikaian sempadan antara kedua-dua negara yang tercetus sebelum ini.

Menurutnya, penganjuran mesyuarat GBC ini adalah susulan perjanjian gencatan senjata yang dimeterai dengan inisiatif Malaysia pada 28 Julai 2025.

“Malaysia telah dipilih secara bersama oleh Thailand dan Kemboja sebagai lokasi berkecuali bagi penganjuran mesyuarat penting itu yang bertujuan menyelesaikan pertikaian sempadan antara kedua-dua negara jiran berkenaan,

“Antara agenda utama yang akan dibincangkan dalam mesyuarat itu adalah Terma Rujukan (ToR) bagi penempatan Atase Pertahanan sebagai pasukan interim serta cadangan penempatan Kumpulan Pemantau ASEAN bagi mengawasi perkembangan di kawasan sempadan,” jelas Markas ATM.

Sebelum ini, Panglima Panglima Angkatan Tentera (PAT) Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam mengetuai delegasi khas ke Thailand dan Kemboja dalam usaha mengukuhkan komitmen terhadap gencatan senjata serta-merta yang diumumkan susulan Mesyuarat Khas tiga negara, pada Selasa lalu.

Markas ATM memaklumkan, delegasi diplomatik berkenaan bertujuan memastikan semua pihak terlibat mematuhi perjanjian yang berkuat kuasa jam 12 tengah malam 28 Julai, sekali gus meredakan ketegangan di kawasan sempadan.

Pada 28 Julai lalu, Thailand dan Kemboja mencapai persefahaman untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat mulai tengah malam tadi bagi menghentikan ketegangan di sempadan kedua-dua negara.

Kejayaan tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku hos, Pengerusi ASEAN dan saksi bagi Mesyuarat Khas Thailand-Kemboja yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana.

Mesyuarat khas tersebut dihadiri Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.-airtimes.my

 

Leave a Reply