LUBNAN, 6 Jun – Program ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha anjuran MALBATT 850-12 di Kem Marakah, Selatan Lubnan bukan sekadar melaksanakan tuntutan agama, malah menjadi wahana penting dalam memperkukuh hubungan dua hala antara pasukan pengaman Malaysia dan masyarakat tempatan.
MALBATT dalam satu kenyataan memaklumkan, sebanyak 48 ekor kambing telah dikorbankan dalam program tersebut, termasuk 26 ekor sumbangan daripada NGO Takaful Marakah dan wakil penduduk Kafr Shuba pada Jumaat.
“Inisiatif ini mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara MALBATT dan masyarakat tempatan, selaras dengan semangat CivilMilitary Cooperation (CIMIC),
“Ia menjadi simbol ketaatan, keikhlasan dan semangat berkorban demi ummah serta menzahirkan nilai kasih sayang dan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan,” jelas kenyataan itu.
Menurut kenyataan MALBATT 850-12, keunikan program ini turut menyerlah apabila anggota diberi peluang menyertai secara langsung proses penyembelihan dan penyediaan korban masing-masing.
“Pengalaman ini memberikan penghayatan yang lebih mendalam terhadap erti pengorbanan serta nilai keikhlasan dalam beribadah,
“Majlis turut dimeriahkan dengan aktiviti memasak secara bergotong-royong oleh warga pasukan dan daging korban dinikmati bersama dalam jamuan Aidiladha yang berlangsung dalam suasana penuh kesyukuran dan keharmonian,
“Aktiviti ini bukan sahaja mengeratkan ukhuwah sesama anggota, malah mencerminkan semangat perpaduan dan kerjasama berpasukan anggota MALBATT 850-12,” tambah kenyataan itu.
Inisiatif seperti ini membuktikan bahawa penglibatan aktif dalam aspek kemasyarakatan mampu memupuk persefahaman lebih mendalam, memperkukuh jaringan sokongan, serta meningkatkan imej dan kepercayaan terhadap peranan Malaysia dalam misi pengaman antarabangsa.-airtimes.my
#MALBATT #Malaysia #Lubnan #airtimes #pertahanan