PASIR PUTEH, 22 Jan – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) negeri Kelantan telah menahan 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar, termasuk 4 wanita dan seorang kanak-kanak berusia hampir 2tahun dalam satu operasi pada Isnin lalu.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, kesemua mereka dibawa oleh seorang tekong melalui Sungai Kuala Besar dengan menaiki bot fiber yang digunakan untuk memancing bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Menurutnya, tangkapan dilakukan oleh aset APMM yang sedang melaksanakan rondaan di perairan Malaysia-Thailand dalam Op Naga Barat, Op Damai dan Op Tiris.
“Menyedari kehadiran anggota penguat kuasa APMM, bot fiber tersebut bertindak melarikan diri sebelum berjaya ditahan setelah kira-kira 40 minit kejar buru dilakukan,
“Hasil pemeriksaan mendapati, bot fiber tersebut membawa 14 orang disyaki PATI warganegara Myanmar yang terdiri daripada 9lelaki dan 4wanita berusia dalam lingkungan 18 hingga 30 tahun serta seorang kanak-kanak berusia hampir 2tahun,
“Pemeriksaan lanjut turut mendapati, 8 daripada mereka mempunyai pengenalan diri yang meragukan, manakala 6 lagi tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” jelasnya dalam kenyataan pada Rabu.
Erwan Shah berkata, tekong bot fiber terbabit dipercayai telah melarikan diri melalui kawasan semak berhampiran bagi mengelakkan diri daripada ditahan pihak berkuasa.
Bot bersama kesemua PATI kemudiannya ditahan dan diiringi ke Jeti APMM Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut.
“Kesemua mereka diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan selanjutnya,
“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 26(J) ATIPSOM 2007 iaitu mengangkut migran yang diseludup dan Seksyen 6 (1)(C) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” ujarnya lagi.-airtimes.my
#APMM #airtimes #Kelantan #PATI #Myanmar #Malaysia