KUCHING, 8 Ogos – Kementerian Pertahanan (MINDEF) memperuntukkan RM303 juta untuk memperkukuhkan fasiliti Tentera Darat Malaysia (TDM) di Sarawak.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, peruntukan itu antara lain akan digunakan untuk projek pembinaan kem TDM.
“Jumlah itu (RM303 juta) tidak termasuk peruntukan perolehan peralatan untuk TDM di Sarawak yang bernilai RM70 juta,” katanya seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan di Kem Penrissen, pada Khamis.
Mohamed Khaled berkata, kementeriannya juga sedang membina beberapa pos kawalan di sempadan Sarawak-Kalimantan.
“Sekarang ini kita dah ada 17 pos sempadan di Sarawak. Kita sedang bina beberapa pos baharu dan setelah siap nanti Sarawak bakal ada 23 pos kawalan,” katanya.
Tambahnya, MINDEF serta kerajaan Sarawak juga telah bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa kerja bagi memastikan semua projek MINDEF di negeri itu berjalan lancar.
“Ini adalah komitmen kita bagi memperkasakan pertahanan di Sarawak, jawatankuasa ini diharap dapat mengatasi sebarang cabaran berkaitan pembinaan projek pertahanan di negeri ini,” ujarnya lagi.
Sementara itu, mengenai pembinaan Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) di Bintulu, Mohamed Khaled berkata, projek itu masih di peringkat penyelesaian isu tanah.
“Peruntukan tahun ini untuk pembayaran duit premium (tanah) MAWILLA 4 sudah ada. Selepas selesai soal pembelian tanah nanti kita akan kemukakan kepada kerajaan Persekutuan bagi pembinaan dan kosnya juga akan ditentukan kemudian,” jelasnya. -airtimes.my
#pertahanan #TDM #pembangunan #Sarawak #airtimes #Mindef
