Home Pertahanan dan Keselamatan Pintu pagar balai polis: Tindakan putar belit kenyataan tidak bertanggungjawab – Saifuddin

Pintu pagar balai polis: Tindakan putar belit kenyataan tidak bertanggungjawab – Saifuddin

by Bernama

MARANG, 11 Jul – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan tindakan pihak yang memutar belit kenyataannya berhubung isu penutupan pintu pagar balai polis pada 10 malam sebagai sangat tidak bertanggungjawab.

“Semalam saya sebut tutup pintu pagar. Bukan tutup balai. Kalau ada orang nak buat aduan mesti petugas akan buka pagar. Ia tidak kompromi tugas balai untuk terima aduan, tapi dia punya spin itu sangat tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang, di sini semalam.

Pada Selasa di Parlimen, Saifuddin berkata pintu pagar balai polis di seluruh negara ditutup selepas pukul 10 malam sebagai langkah keselamatan berikutan insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram baru-baru ini.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan semalam berkata laporan polis masih boleh dibuat walaupun pagar balai polis ditutup selepas 10 malam sebagai langkah memperketatkan kawalan dan keselamatan.

KDN memaklumkan jawapan Menteri Dalam Negeri di Dewan Rakyat pada Selasa secara prinsipnya merujuk kepada garis panduan dan langkah berjaga-jaga bagi balai yang berada dalam kategori berisiko terhadap ancaman.

“Tentunya tidak munasabah apabila kenyataan itu ditafsirkan semula oleh sesetengah pihak sebagai ‘tutup pagar’ secara total sedangkan pihak polis bertanggungjawab untuk mengawal keselamatan dan ketenteraman awam,” menurut kenyataan itu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain semasa dihubungi Selasa berkata, penyampaian perkhidmatan polis masih berjalan seperti biasa dan orang ramai tetap boleh membuat aduan dan laporan walaupun pintu pagar ditutup.- Bernama

#keselamatan #KDN #PDRM #airtimes #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply