Home Pertahanan dan Keselamatan Sarjan Faridah meninggal dunia di Lubnan akibat serangan jantung – Markas ATM

Sarjan Faridah meninggal dunia di Lubnan akibat serangan jantung – Markas ATM

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 23 MEI – Allahyarhamah Sarjan Faridah Abd Rahman disahkan meninggal dunia di Lubnan akibat serangan jantung.

Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memaklumkan, perkembangan itu berpandukan hasil bedah siasat dijalankan Hospital Hammoud, Saida, Lubnan, Ahad lalu.

“Keputusan awal bedah siasat telah diperolehi pada 20 Mei 2024 (Isnin), dan mengesahkan Allahyarhamah telah meninggal dunia akibat cardiopulmonary arrest due to myocardial ischemia/thrombosis, atau serangan sakit jantung,” jelas Markas ATM dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kenyataan yang sama, Markas ATM memaklumkan, jenazah Allahyarhamah akan dibawa pulang ke tanah air petang ini dengan menggunakan pesawat komersil.

“Pihak MALBATT 850-11 dengan bantuan daripada Kedutaan Malaysia di Beirut telah menyelesaikan segala urusan berkaitan proses dokumentasi dengan pihak berkuasa Lubnan serta UNIFIL bagi membawa pulang jenazah ke tanah air sekitar pukul 5.05 petang waktu Malaysia,

“Jenazah dijadualkan tiba ke tanah air esok pada pukul 9.50 malam waktu Malaysia dan solat jenazah akan dilaksanakan di Pangkalan Udara Subang sebagai penghormatan terakhir sebelum dibawa ke kampung halamannya di Pendang, Kedah,” jelas kenyataan itu lagi.

Kemudian, jenazah akan dibawa menggunakan pesawat angkut Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 25 Mei 2024 (Sabtu) jam 7.00 pagi ke kampung halaman.

“Jenazah Allahyarhamah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Masjid Al-Anwar, Kampung Tengah, Mukim Tualang, Pokok Sena, Kedah,” tambah Markas ATM.

Sebelum ini, Air Times melaporkan, Sarjan Faridah disahkan meninggal dunia di Lubnan oleh pegawai perubatan MALBATT 850-11 pada 18 Mei 2024 (Sabtu) jam 2.25 pagi waktu Lubnan atau jam 7.25 pagi waktu Malaysia.

Beliau rebah setelah turun dari bas di Kem Marakah. Allahyarhamah pada ketika itu baru pulang ke Lubnan setelah selesai bercuti di Malaysia.

Jenazah Allahyarhamah dihantar Ke Hospital Hammoud, Saida untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Allahyarhamah telah mendirikan rumah tangga serta mempunyai 4 orang anak iaitu 3 orang anak perempuan dan seorang anak lelaki berusia antara 4 hingga 10 tahun.

Allahyarhamah merupakan anak kelahiran Pendang, Kedah dan berusia 39 tahun.

Beliau telah menyertai perkhidmatan Tentera Darat Malaysia semenjak tahun 2007 dan ditugaskan dalam Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT).

Beliau sebelum ini bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam di Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu Di Raja (MEKANIZE), Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani, Kedah sebelum di atur gerak menyertai Misi MALBATT 850-11 UNIFIL. –airtimes.my

#Malbatt #airtimes #Malaysia #ATM #Lubnan

Related Articles

Leave a Reply