TAIPEI, 20 MEI – Kerajaan Taiwan digesa untuk meningkatkan tahap keupayaan misil dan juga dron bagi memantapkan lagi pertahanan republik itu.
Gesaan dibuat oleh kumpulan pakar pertahanan Taiwan yang menyatakan keupayaan teknologi kedua-dua persenjataan itu menjadi tonggak strategi doktrin Porcupine (landak).
RAND Corporation Taiwan Policy Initiative director Raymond Kuo berkata, Taiwan telah mengambil serius akan ancaman tindakan ketenteraan oleh China.
“Taiwan telah mempertingkatkan pengeluaran misil anti kapal, misil anti pesawat dan pada ketika ini sedang berusaha untuk menghasilkan sejumlah besar dron,
“Usaha ini dijangka akan berterusan di bawah kepimpinan baharu Taiwan di samping melakukan perolehan dari Amerika Syarikat serta membangunkan platform yang lebih besar seperti kapal selam,” katanya dalam laporan oleh Taipei Times.
Pada Mei lalu, Washington telah meluluskan pakej bantuan ketenteraan kepada Taiwan bagi menghadapi tekanan oleh China. Ini termasuk pemberian pakej bantuan latihan dan perolehan aset baharu bernilai US$1.9 bilion.
Sementara itu, penganalisis kanan National Chengchi University Taiwan Center for Security Studies Director Richard Hu menjelaskan peperangan di Ukraine memberikan pengajaran yang penting kepada Taiwan.
Menurutnya, keupayaan dan kemampuan teknologi mampu mengatasi ancaman persenjataan tradisional.
“Dengan mengambil pengajaran dari peperangan di antara Rusia dan Ukraine, Kementerian Pertahanan Taiwan dijangka akan mengubah corak perolehan mereka dari melakukan pembelian aset yang mahal dan berat,
“Mereka akan memilih peralatan yang ringan, lincah dan lebih berkesan,
“Sebagai contoh UAV dan misil anti armor Javelin,” kata Hu. – airtimes.my
#AirTimes #Global #Taiwan #China