Home Pertahanan dan Keselamatan Kem Sultan Nazrin Shah diserah secara rasmi kepada 69 Komando

Kem Sultan Nazrin Shah diserah secara rasmi kepada 69 Komando

by Zaki Salleh

IPOH, 6 MEI – Markas 69 Komando atau lebih tepat lagi, Kem Sultan Nazrin Shah, Ulu Kinta secara rasminya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam majlis gilang gemilang.

PDRM secara rasmi menerima Kem Sultan Nazrin Shah dalam satu majlis penyerahan yang diadakan di Auditorium Ibu Pejabat 69 Komando.

Cadangan pembinaan ibu pejabat dan markas pemerintahan sendiri 69 Komando telah dirancang lebih 10 tahun lalu sejajar dengan keperluan pasukan tersebut yang semakin berkembang.

Ini kerana sejak penubuhannya, 69 Komando ditumpangkan di beberapa bangunan milik Briged Utara Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta.

Dengan terbinanya Kem Sultan Nazrin Shah, ia secara tidak langsung juga menunjukkan pengiktirafan kepada 69 Komando sebagai pasukan elit dengan sejarah kejayaan yang panjang.

Penyerahan kompleks kem bagi urusan pentadbiran dan latihan 69 Komando itu dibuat melalui sesi menandatangani dokumen.

Ia disempurnakan antara Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan), Jabatan Kerja Raya (JKR), Dato’ Ir. Hj. Badioezaman Ab Khalik kepada Setiausaha Bahagian Pembangunan, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tuan Ahmad Fuad Apandi.

Majlis bersejarah ini disaksikan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Seterusnya ialah simbolik penyerahan kunci oleh Tuan Ahmad Fuad kepada Razarudin.

Perdana Menteri turut dihadiahkan buku Sejarah 69 Komando serta Lahad Datu Mac 2013 daripada Razarudin diiringi Komander 69 Komando, Senior Asisten Komisioner Hamzah Hashim.

Pembinaan Kem Sultan Nazrin Shah telah bermula pada tahun 2018 dengan peruntukan kos sebanyak RM236 juta.

Syarikat Sujaman Sdn. Bhd. diberi tanggungjawab membina kem di bawah penyelarasan dan pemantauan JKR sehingga selesai dibina.

Kem Sultan Nazrin Shah mendapat Perakuan Sijil Siap Kerja pada 14 Februari lalu dan telah mula digunakan oleh 69 Komando secara berperingkat-peringkat.

Sambutan ulangtahun ke-54 69 Komando tahun lalu juga buat pertama kalinya diadakan di Kem Sultan Nazrin Shah yang dihadiri Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Sejak dua tahun lalu juga, tapisan awal pemilihan calon-calon pelatih kursus asas 69 Komando turut diadakan di persekitaran kem ini.

Related Articles

Leave a Reply