Home Pertahanan dan Keselamatan KP APMM bersara wajib selepas 42 tahun berkhidmat

KP APMM bersara wajib selepas 42 tahun berkhidmat

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 19 Apr – Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin bersara wajib berkuat kuasa hari ini selepas 42 tahun berkhidmat dalam pasukan keselamatan negara.

APMM dalam satu kenyataan memaklumkan, Hamid yang memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah APMM keenam pada 6 November tahun lepas telah meletakkan teras utama kepada seluruh warga agensi dengan memfokuskan integriti, operasi dan ilmu (I.O.I) dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan.

Walaupun Hamid hanya menerajui agensi terbabit dalam tempoh 5 bulan, namun beliau telah melakarkan banyak kejayaan untuk pasukan itu termasuk peningkatan operasi khususnya di sempadan perairan negara dan menguruskan pertambahan aset.

“Antaranya perolehan 4 buah helikopter ‘medium lift’, sebuah kapal ‘Multi-Purpose Mission Ship’, dua buah New Generation Petrol Craft (NGPC), 2 buah bot pemintas Pasukan Tindakan Khas (PTK) dan 5 buah bot pemintas ‘Rigid Hull Fenders Boat’ (RHFB), selain Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV) dari ‘US Coast Guard’,

“Selain itu, beliau turut berjaya memastikan OPV1 yang telah dinamakan sebagai Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah berjaya disiapkan dan beroperasi di perairan Sarawak pada awal tahun ini,” jelas kenyataan itu.

Hamid turut berjaya melancarkan Pelan Strategik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia 2023 – 2033 yang bakal dijadikan sebagai landasan untuk Agensi ini mencapai status sebagai Pusat Kecemerlangan Serantau dalam Penguatkuasaan Maritim dan CARILAMAT atau Bantuan Bencana.

“Kejayaan tersebut adalah antara usaha berpasukan yang telah digembelingkan oleh Hamid ketika beliau memegang jawatan nombor satu di dalam agensi ini,”jelas APMM lagi.

Sebelum ini, Hamid pernah bertugas dalam perkhidmatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebelum diserapkan ke APMM bermula 31 Oktober 2005 sebagai pegawai perintis dan menyandang beberapa jawatan penting lain dalam agensi termasuk timbalan ketua pengarah operasi Maritim Malaysia.

Beliau juga pernah memegang pelbagai jawatan termasuk dilantik sebagai Ketua Staff Bahagian Penguatkuasaan Maritim di Kawasan Keselamatan Khasi Pantai Timur Sabah (ESSCOM) pada tahun 2019.

Sempena menghargai jasa beliau sebagai ketua pengarah APMM, satu acara ‘street lining’ telah diadakan di pekarangan Ibu Pejabat APMM Putrajaya pada Khamis.-airtimes.my

#keselamatan #airtimes #APMM #KDN #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply