Home Pertahanan dan Keselamatan Wira PGB 69 Komando, Sarjan Mejar Apot kini terlantar diserang strok

Wira PGB 69 Komando, Sarjan Mejar Apot kini terlantar diserang strok

by Zaki Salleh

KAMPAR, 3 APR – Wira VAT 69 Komando yang juga penjejak (tracker) lagenda Senoi Praaq, Sarjan Mejar (Bersara) Apot Saat PGB kini dirawat di Hospital Kampar setelah diserang angin ahmar.

Berita tersebut dimaklumkan Persatuan Veteran VAT 69 Komando menerusi laman Facebook rasmi pertubuhan tersebut.

Difahamkan, penerima pingat keberanian Panglima Gagah Berani (PGB) ini telah diserang angin ahmar lalu mengalami strok pada bahagian kepala dan tangan kiri

Akibat serangan penyakit itu, Apot, 74, terus tidak boleh bercakap dan membuka kelopak mata melainkan hanya tangan kanan bergerak seperti meminta sesuatu.

Kedua-dua kakinya bagaimana pun boleh bergerak tetapi sukar untuk lurus.

Beliau yang kini terlantar di hospital hanya menggunakan saluran tiub untuk makan minum serta membuang air.

Antara yang menziarahi beliau ialah mantan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraan Awam PDRM, Dato’ Seri Mohamad Sabtu Othman dan Yang Dipertua Persatuan VAT 69 Komando Dato’ Abdul Rashid Harun.

Sarjan Mejar Apot merupakan lagenda penjejak yang mengharumkan nama Polis Diraja Malaysia khususnya 69 Komando.

Kemahiran Apot sebagai penjejak sangat digeruni kerana beliau mampu membezakan jejak pasukan keselamatan dengan pengganas komunis.

Sarjan Mejar (Bersara) Apot Saat PGB merupakan penjejak (tracker) lagenda VAT 69 Komando semasa menentang pengganas komunis pada satu ketika dahulu.

Penyertaan beliau dalam operasi membawa kepada beberapa siri kejayaan dalam menghancurkan kubu kuat komunis ketika itu.

Dalam satu operasi di Bentong, Pahang pada awal 80-an, pasukannya telah menyerang hendap khemah musuh hasil penjejakan yang dilakukan menyaksikan lapan pengganas komunis tewas.

Kepakaran Apot turut diiktiraf pasukan keselamatan luar negara untuk berkongsi kepakarannya dengan komando Australia Special Air Service Regiment serta New Zealand Special Air Service.

Apot, anak kelahiran Kampung Lata Kinjang, Chenderiang, Perak memulakan kerjaya polis pada 4 Ogos 1968 apabila menyertai Senoi Praaq.

Setahun kemudian beliau diserapkan ke dalam 69 Komando sebagai tracker. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Keselamatan #PDRM #VAT69

Related Articles

Leave a Reply