Home SemasaGlobal Thailand pertingkat kerjasama industri pertahanan dengan Korea Selatan

Thailand pertingkat kerjasama industri pertahanan dengan Korea Selatan

by Wazien Zamri

SEOUL, 3 APR –  Kementerian Pertahanan Thailand melalui menterinya, Sutin Klungsang telah membincangkan kerjasama dua hala dengan rakan sejawatannya berkenaan kemajuan industri pertahanan dan ketenteraan.

Perkara ini telah dibincangkan olehnya bersama Menteri Pertahanan Korea Selatan, Shin Won-Sik dalam tempoh lawatan rasminya ke Seoul pada 27 hingga 30 Mac baru-baru ini.

Dalam pertemuan mereka itu, Sutin menyatakan minat pihak mereka untuk bekerjasama dengan Pentadbiran Program Pemerolehan Pertahanan(DAPA) dalam menaik taraf sistem pertahanan Thailand.

“Kementerian Pertahanan Thailand amat berminat untuk menjalinkan kerjasama dengan DAPA serta mengharapkan peningkatan dalam industri pertahanan melalui usaha sama itu”, jelas Sutin dalam kenyataannya.

Beliau turut memuji keupayaan sistem pertahanan yang dibangunkan Seoul melalui DAPA yang memainkan peranan utama selain menyatakan kerjasama yang telah berjaya dilaksanakan oleh kedua buah negara sebelum ini.

“Seoul dan Thailand juga sudah mempunya hubungan kerjasama dalam aspek ketenteraan antaranya adalah pembelian kapal frigat dan pesawat tempur dari Korea Selatan,

“Manakala Seoul mempunyai keterlibatan dalam eksesais ketenteraan tahunan Cobra Gold yang dilaksanakan oleh Tentera Thailand,” tambahnya lagi.

Menerusi lawatan tersebut, Sutin menerima respon positif daripada Shin ketika mengikuti sesi taklimat tentang sistem senjata Seoul.

Shin dalam taklimat itu, turut menyatakan harapannya agar syarikat Korea Selatan dapat turut serta dalam projek pembangunan ketenteraan Thailand, lapor agensi berita Yonhap.

Selesai lawatan itu, Shin juga menjemput Sutin untuk mengambil bahagian dalam Dialog Pertahanan Seoul serta mesyuarat menteri pertahanan bagi Negara Anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang akan dihoskan oleh Korea Selatan, masing-masing berlangsung pada September dan November tahun ini. – airtimes.my

#AirTimes #Thailand #Global #TeknologiPertahanan

Related Articles

Leave a Reply