Home Pertahanan dan Keselamatan Tan Sri Azizan TUDM dilantik sebagai Pengerusi baharu LTAT

Tan Sri Azizan TUDM dilantik sebagai Pengerusi baharu LTAT

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 29 Mac – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) melantik Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin TUDM (Bersara) sebagai Pengerusi dan Mohammad Ashraf Md Radzi sebagai Ketua Eksekutif yang baharu berkuat kuasa 1 April ini.

Azizan menggantikan Jeneral (Bersara) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang meletak jawatan daripada jawatan Pengerusi LTAT, pada 8 Februari lalu.

Menerusi satu kenyataan, LTAT berkata, Azizan adalah figura yang mempunyai pengalaman dan kepimpinan yang luas, selepas berkhidmat dengan cemerlang dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama 40 tahun.

“Beliau telah memenuhi pelbagai jawatan penting sepanjang perkhidmatannya termasuk Panglima Operasi Udara, Timbalan Panglima Tentera Udara, dan juga sebagai Panglima Tentera Udara ke-15,

“Selepas itu, beliau telah mencipta sejarah dengan menjadi Panglima Angkatan Tentera yang pertama daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),

“Pengalaman beliau yang luas dalam hal ketenteraan, diplomasi dan pembangunan kepimpinan diyakini akan mendorong LTAT agar terus mencapai objektif strategiknya dan meningkatkan peranan dalam menjaga kebajikan anggota ATM dan keluarga mereka,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Azizan telah mengikuti Kursus Asas Penerbangan di Australia dan menerima kelayakan untuk menjadi juruterbang TUDM pada 7 Julai 1977.

Beliau adalah graduan Air Command and Staff College (USA) dan National Defence College (India).

Sementara itu, Mohammad Ashraf pula mengambil alih peranan sebagai Ketua Eksekutif selepas berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kewangan LTAT sejak Mac 2020.

“Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau telah menunjukkan kecekapan dalam menguruskan hal ehwal kewangan, memimpin perangkaan strategi kewangan dan memastikan kepatuhan kepada prinsip kebertanggungjawaban kewangan di LTAT,

“Kepimpinan beliau telah memberikan sumbangan yang signifikan kepada agenda transformasi organisasi yang berjaya memulihkan dividen kepada tahap yang mampan serta meningkatkan kedudukan kewangan secara keseluruhannya,” jelas LTAT lagi.

Mohammad Ashraf memulakan kerjayanya di Eropah dengan menjalani latihan sebagai akauntan dengan firma Ernst & Young, sebelum berkhidmat di UBS Investment Bank.

“Selepas kembali ke tanah air, beliau mengembangkan kepakarannya dalam bidang kewangan korporat di Prokhas Sdn Bhd, sebuah firma penasihat yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan (MOF),

“Selepas itu, beliau berkhidmat di Ahmad Zaki Resources Bhd (AZRB) sebagai Ketua Kewangan Korporat sebelum menyandang jawatan Ketua Pegawai Kewangan AZRB,

“Mohammad Ashraf juga adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam Bidang Perakaunan dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN),” menurut LTAT lagi.

Tambah LTAT, Mohamamad Ashraf juga adalah ahli Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) dan menjadi Akauntan Bertauliah daripada Institut Akauntan Malaysia. -airtimes.my

#LTAT #Pengerusi #Mindef #Malaysia #airtimes

Related Articles

Leave a Reply