Home Pertahanan dan Keselamatan Saya merayu walau nampak bodoh, tolong selesaikan masalah veteran ATM – MP Ketereh

Saya merayu walau nampak bodoh, tolong selesaikan masalah veteran ATM – MP Ketereh

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 13 Mac – Kerajaan digesa untuk menyelesaikan segera isu penyelarasan pencen membabitkan bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tertanggung sejak Januari 2013.

Ahli Parlimen Ketereh, Mejar Jeneral (Bersara) Khlir Mohd Nor merayu kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin supaya isu tersebut diselesaikan walaupun secara beransur-ansur berdasarkan kemampuan kewangan negara.

“Saya minta sangat tolong menteri, saya merayu walaupun saya nampak bodoh merayu tapi demi veteran saya ini tolong selesaikan masalah ini segera,

“Kesian 98% veteran adalah B40, macam mana nak hidup di negara ini,” katanya ketika bangkit mencelah sesi penggulungan Menteri Pertahanan Khaled Nordin di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Khlir berkata, beliau bimbang sekiranya isu penyelarasan pencen berlarutan ia menyebabkan veteran tidak dapat merasai pembayaran itu memandangkan majoriti mereka telah berusia.

“Veteran sekarang ini dah sayup umurnya. Veteran ini lagi 10 tahun, dah tak ada, mati dah, jadi apa yang hendak ditunggu lagi,

“Sedangkan dah jelas, mengikut peraturan dan perundungan kerajaan kena bayar kepada pesara ini,

“Tolong la menteri, kalau tak boleh buat semua kita buat secara ansur-ansur. Jangan sampai dia (veteran) mati baru kita nak buat. Ia dah tak guna dah,” ujarnya lagi.

Menurutnya, ia ditambah apabila mahkamah telah memutuskan pesara terlibat mempunyai hak di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk pencen mereka diselaraskan.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan tidak perlu membuat rayuan susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan saman pemula difailkan 50 pesara tentera terhadap kerajaan dan Majlis Angkatan Tentera berhubung penyelarasan pencen mereka yang bersara sebelum 1 Jan 2013.

Terdahulu, ketika berucap Khaled berkata, Kementerian Pertahanan (MINDEF) berdepan tuntutan kes saman berkaitan pelarasan pencen pesara tentera yang menamatkan perkhidmatan sebelum tahun 2013.

Ujarnya, ketika ini kerajaan melalui Jabatan Peguam Negara telah memfailkan notis rayuan pada 9 Februari 2024 dan pengurusan kes telah ditetapkan oleh mahkamah pada 9 Mei 2024.

Khalid bagaimanapun memberi jaminan akan berlaku adil kepada semua pihak, sambil memaklumkan kajian penambahbaikan sistem saraan penjawat awam sedang berjalan.

Jelasnya, rayuan dibuat itu selaras proses undang-undang dan Khaled meminta semua pihak menunggu keputusan muktamad dari mahkamah bagi membolehkan isu berbangkit dapat dinoktahkan.

“Kita bukan soal kalau bawa ke mahkamah kerajaan menang, tidak juga sebab kuasa mahkamah dan kerajaan asing itu sebab kita minta tunggu secara muktamad,

“Jadi kita pilih mahkamah sebagai badan bebas membuat keputusan. Atas asas itu rayuan telah dibuat kita tunggu perbicaraan secara muktamad,” katanya.

Bagaimanapun, Khlir mencelah dengan menegaskan, soal kebajikan veteran perlu diutamakan, walaupun semua pihak tertakluk kepada undang-undang.

“Ini soal kebajikan, mereka (veteran) tua-tua bukan banyak…dana kerajaan nak habis kalau nak banding dengan isu LCS,

“Ada veteran yang cacat. Kalau menteri nak jumpa saya akan tunjuk seksanya mereka hidup. Tolong dengar rayuan saya, kalau saya mati saya tak pejam rapat mata (kalau isu ini tak selesai),” ujarnya lagi.

Sebelum ini, seramai 50 pesara ATM berpangkat Mejar, Leftenan Kolonel, Staf Sarjan dan Prebet memfailkan saman itu pada 17 November 2022 dan menamakan kerajaan, Perdana Menteri, Menteri Kanan Pertahanan serta Majlis Angkatan Tentera sebagai defendan.

Menerusi saman itu, plaintif memohon pengisytiharan bahawa defendan memungkiri peruntukan di bawah Perkara 137 atau Perkara 8 Perlembagaan dibaca bersama Seksyen 187 Akta Angkatan Tentera Malaysia dalam kegagalan masing-masing untuk melakukan penyelarasan pencen baharu untuk pesara ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013. -airtimes.my

#airtimes #pertahanan #veteranATM #Mindef #pelarasan #pencen

Related Articles

Leave a Reply