Home Pertahanan dan Keselamatan Pameran DSA, NATSEC Asia 2024 bakal terima penyertaan terbesar dalam sejarah

Pameran DSA, NATSEC Asia 2024 bakal terima penyertaan terbesar dalam sejarah

by Bernama

KUALA LUMPUR, 13 Mac – Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 dari 6 hingga 9 Mei depan bakal menerima penyertaan lebih 1,200 syarikat daripada 45 negara, terbesar dalam sejarah penganjurannya sejak 36 tahun lepas.

Pengarah Eksekutif DSA 2024 Nadzeem Abdul Rahman berkata sehingga kini 30 negara mengesahkan penyertaan dalam pameran dwitahunan itu termasuk Amerika Syarikat, China, Australia, Brazil, Jerman, India, Perancis, Itali, Korea Selatan, Turkiye, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan United Kingdom.

“Secara keseluruhan Pameran DSA dan NATSEC Asia 2024 akan mencatat penyertaan lebih 1,200 syarikat dari 45 negara dengan memberi fokus kepada pembangunan industri tempatan dan kerjasama antarabangsa.

“Penyertaan pempamer untuk tahun ini telah melepasi rekod Pameran DSA dan NATSEC Asia 2022 dan kami menyasarkan ia melebihi 25 peratus berbanding edisi sebelum ini. Edisi kali ini juga akan menonjolkan pelbagai strategi baharu dalam menghadapi cabaran keselamatan semasa,” katanya kepada Bernama.

Pameran DSA dan NATSEC Asia 2024 edisi ke-18 dijadual berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Pada edisi ke-17, sebanyak 380 delegasi kenamaan daripada 40 negara serta 35,567 pelawat perdagangan menghadiri DSA dan NATSEC ASIA 2022 dengan penyertaan kirakira 1,000 syarikat daripada negara pengeluar industri pertahanan utama dunia.

Nadzeem berkata Turkiye sekali lagi muncul sebagai kontinjen terbesar pada Pameran DSA dan NATSEC 2024 dengan hampir 70 syarikat daripada negara Mediterranean itu telah mengesahkan penyertaan termasuk Aselsan, Canik, Dearsan Shipyard dan Turkish Aerospace Industries.

“Mereka akan mempamerkan teknologi seperti sistem elektronik, simulator, sistem senjata dan peluru, sistem marin, platform penerbangan, sistem tanpa pemandu, sistem peluru berpandu dan platform kenderaan berperisai serta pelbagai lagi teknologi canggih,” katanya.

Beliau berkata edisi kali ini juga menyaksikan peningkatan penyertaan syarikat dari negara-negara seperti China, UAE, Itali dan Amerika Syarikat. Nadzeem berkata penyertaan syarikat tempatan pula termasuk DEFTECH, Advanced Defence System, OpenApps, MILDEF, Sapura, Malvus Sense, Weststar Group, Nadi Corp, SME Ordnance, System Consultancy Services dan Mindmatics.

“Mereka akan menampilkan kepakaran dalam bidang pembuatan, pembekalan, integrasi serta inovasi teknologi sistem pertahanan dan keselamatan yang meliputi kenderaan berperisai; platform persenjataan; Network Centric Operation (NCO); peluru; dron; pesawat tanpa pemandu (UAV); penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO); sistem radar dan komunikasi taktikal,” katanya.

Beliau berkata DSA dan NATSEC Asia 2024 dengan tema ‘Membina Ketahanan Negara untuk Generasi Masa Hadapan’ turut membincangkan isu kritikal semasa dan mencadangkan formulasi terbaik yang dapat menjamin kestabilan bagi generasi masa depan.

“Aspek pertahanan dan keselamatan perlu dilihat sebagai satu pelaburan kerana negara yang melabur secara strategik akan menghasilkan sebuah negara berkredibiliti dalam menjaga kedaulatannya bagi memastikan rakyat hidup aman dan menikmati kemakmuran ekonomi,” katanya. – Bernama

#pertahanan #DSA #NATSEC #airtimes #pameran

Related Articles

Leave a Reply