Home Pertahanan dan Keselamatan Program 2U2I lahirkan 17 juruterbang muda hasil kerjasama TUDM-UPNM

Program 2U2I lahirkan 17 juruterbang muda hasil kerjasama TUDM-UPNM

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 8 Mac – Seramai 17 Pegawai Kadet Angkatan Tentera Malaysia (ATM) (Program Penerbangan) telah berjaya menamatkan Program Latihan 2U2I Juruterbang.

ATM dalam kenyataan memaklumkan, Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet ATM Program 2U2I Juruterbang telah disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman di Dewan Tun Templer, Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Kem Perdana Sungai Besi, hari ini.

Turut hadir, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Ketua Staf Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Zaidan Atan mewakili Panglima Tentera Darat.

Jelas kenyataan itu, kesemua Pegawai Kadet ini telah lulus dan dianugerahkan Sayap Penerbangan oleh Panglima Tentera Udara pada 9 Disember 2023 yang lalu.

“Seorang Pegawai Kadet ditauliahkan sebagai Juruterbang Pesawat Pejuang, 12 Pegawai Kadet ditauliahkan sebagai Juruterbang Pesawat Angkut,

“Manakala, 3 lagi Pegawai Kadet ditauliahkan sebagai Juruterbang Pesawat Helikopter dan seorang Pegawai Kadet ditauliahkan ke dalam Cawangan Penerbangan,” jelas kenyataan itu lagi.

Menurut ATM, latihan berkenaan telah dilaksanakan mulai 3 September 2019 hingga 31 Ogos 2021 bertempat di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Sungai Besi bagi program 2U dengan lulusan Kepujian Ijazah Sarjana Muda Penerbangan

“Manakala, Program 2I pula bermula pada 1 September 2021 hingga 9 Disember 2023 bertempat di Institut Penerbangan Satu (INSPEN 1) dan Institut Penerbangan Dua (INSPEN 2), Kolej Tentera Udara (KTU), Alor Setar,” ujarnya lagi.

Program Ijazah Sarjana Muda Penerbangan merupakan jurusan yang diperkenalkan di UPNM dengan hasil kerjasama TUDM pada 18 September 2018.

Program 2U2I yang membabitkan pengajian selama 4 tahun, iaitu 2 tahun di UPNM dan 2 tahun latihan industri di KTU berupaya meningkatkan keupayaan pegawai yang bakal berkhidmat bersama ATM.

Tambah kenyataan itu, majlis ini merupakan satu pengiktirafan yang amat bermakna kepada ATM kerana berjaya melahirkan juruterbang muda melalui Program 2U2I yang menggunakan sepenuhnya kepakaran kejurulatihan dan aset TUDM. -airtimes.my

#pertahanan #airtimes #TUDM #juruterbang #pegawaimuda #UPNM

Related Articles

Leave a Reply