Home Pertahanan dan Keselamatan Negara ASEAN perlu siap sedia hadapi cabaran keselamatan yang berubah – Khaled Nordin

Negara ASEAN perlu siap sedia hadapi cabaran keselamatan yang berubah – Khaled Nordin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Malaysia menyuarakan pandangan mengenai cabaran keselamatan serantau yang dinamik dan menekankan kepentingan bagi negara ASEAN untuk terus bersiap sedia serta sentiasa responsif terhadap cabaran keselamatan yang semakin berubah.

Pandangan itu dikongsikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika menghadiri Sesi Permukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN yang diadakan di Luang Prabang, Laos, semalam.

Dalam mesyuarat yang sama, Mohamed Khaled turut membangkitkan mengenai kemajuan dan strategi Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) pasca-2025, dengan mengambil kira pencapaian pelaksanaan Pelan Tindakan Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN 2025.

Jelasnya, ADMM dan ADMM-Plus memainkan peranan penting selaku platform utama dalam mempromosikan dialog pertahanan dan keselamatan serta kerjasama praktikal untuk meningkatkan keamanan, keselamatan dan kestabilan serantau.

Sesi Permukiman tersebut disertai oleh 10 negara anggota ASEAN dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan Laos, Jeneral Chansamone Chanyalath.

Ketika di Laos, Mohamed Khaled berkesempatan mengadakan pertemuan dua hala dengan Chanyalath Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Lao PDR.

“Kedua-dua Menteri telah menyentuh mengenai pelbagai isu strategik yang berkepentingan kepada keduadua negara termasuk kepentingan untuk mengekalkan kepusatan dan perpaduan ASEAN,

“Turut dibincangkan pelbagai bentuk kerjasama yang boleh terus dilaksanakan antara kedua-dua buah negara dalam bidang pertahanan, khususnya dalam soal kawalan sempadan dan pertukaran pegawai melalui program pembangunan kapasiti,” jelas Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam kenyataan, hari ini.

MINDEF memaklumkan, Mohamed Khaled turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan Thailand, Sutin Klungsang.

“Kedua-dua Menteri mengesahkan komitmen untuk meningkatkan lagi kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Thailand, khususnya dalam mengukuhkan keselamatan di kawasan sempadan kedua-dua negara,” tambah kenyataan itu.

Dalam pertemuan itu, Mohamed Khaled turut mencadangkan supaya Malaysia dan Thailand memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang industri pertahanan dan ketenteraan.

Jelasnya, melalui MoU tersebut, pelbagai usaha diterokai secara bersama termasuklah dalam bidang sains dan teknologi, perkongsian latihan dan kepakaran serta pembangunan industri pertahanan tempatan. -airtimes.my

#pertahanan #Mindef #Malaysia #ADMM #ASEAN #airtimes

Related Articles

Leave a Reply