ANKARA, 13 FEB – Tahap keselamatan dan komunikasi pesawat tanpa pemandu (UAV) keluaran Turkiye akan dikawal dengan menggunakan satelit buatan negara itu.
Jaringan kawalan dan komunikasi antara UAV dengan satelit sekaligus mengurangkan risiko pemintasan dari pihak luar.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Pengangkutan dan Infrastruktur Turkiye, Abulkadir Uraloğlu.
“Kita akan dapat mengawal UAV Turkiye di seluruh dunia dengan menggunakan satelit Türksat, bermula dengan Türksat 5B,
“Ini bagi memastikan komunikasi dan kawalan UAV mampu dilaksanakan tanpa sebarang gangguan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, perhubungan UAV dengan satelit sekaligus memperluaskan julat liputan pesawat itu.
Beliau menambah, komunikasi satelit mampu menjadi salah satu faktor yang penting dan mampu mengubah tahap keupayaan UAV.
“Kawalan UAV terutamanya di luar negara kini menjadi lebih selamat dengan Türksat,
“Komunikasi dengan satelit telah menyediakan saluran data yang selamat dan dienkripsi,” katanya.
Uraloğlu menjelaskan, Türksat 5B telah meningkatkan tahap kapasiti data satelit Turkiye sebanyak 17 kali ganda.
“Dengan landskap teknologi yang sentiasa berubah, teknologi satelit Türksat turut mengalami peningkatan yang ketara,
“Ia mampu meningkat keluasan kawasan liputan operasi UAV,” tambahnya.
Beliau turut menjelaskan, penggunaan satelit dalam kawalan UAV juga mampu memudahkan pengoperasian aset tersebut terutamanya di kawasan terpencil dan sukar diakses.
“Ini sekaligus menjadikan misi UAV lebih mudah di kawasan mencabar dan merentasi sempadan,” ujar beliau.
Uraloğlu turut menyatakan satelit Türksat turut mempertingkatkan keupayaan UAV Turkiye untuk beroperasi di Eropah, Asia, Asia Barat dan Afrika. – airtimes.my
#AirTimes #Turkiye #TeknologiPertahanan
