Home SemasaGlobal Israel sedia gempur Rafah, Mesir ancam tarik balik perjanjian damai

Israel sedia gempur Rafah, Mesir ancam tarik balik perjanjian damai

by M.Daim

KAHERAH, 11 FEB – Kerajaan Mesir telah menghantar 40 buah kereta kebal dan kenderaan berperisai di kawasan sempadan Gaza.

Kehadiran kenderaan tempur tentera Mesir di kawasan terbabit dibuat berikutan perkembangan yang meruncing di kawasan selatan Gaza.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Jumaat lalu telah mengarahkan pasukan tenteranya untuk melakukan perancangan operasi ketenteraan dan juga membawa keluar penduduk Palestin dari Rafah.

Operasi ketenteraan di Rafah dilaporkan akan berlaku kerana Netanyahu menjelaskan “adalah mustahil untuk mencapai matlamat peperangan sekiranya 4 batalion Hamas dibiarkan di Selatan Gaza”.

Sementara itu, komander tentera Israel, Herzi Halevi telah menolak pelan serangan Rafah yang dikemukakan oleh Netanyahu.

Menurut Herzi, kempen ketenteraan di Rafah dianggap sebagai satu langkah yang tidak bijak sekiranya ia tidak dikoordinasikan dengan pihak Mesir dan juga tiada sebarang perancangan terhadap pelarian perang.

Netanyahu dilaporkan mahu menyelesaikan kempen di Rafah pada 10 Mac, bersamaan 1 Ramadan.

Pun begitu, langkah yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Israel itu telah mendapat kritikan dari Amerika Syarikat, Mesir, dan juga Arab Saudi.

Pihak Washington memberi amaran bahawa operasi ketenteraan Israel di Rafah akan membawa bencana kemanusiaan kepada masyarakat Palestin.

Perkara tersebut telah disuarakan oleh jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, John Kirby.

Menurut beliau, tentera Israel mempunyai tanggungjawab untuk melindungi nyawa penduduk awam yang tidak bersalah, terutamanya mereka yang telah berada di selatan Gaza.

“Tanpa sebarang pertimbangan penuh untuk melindungi nyawa orang awam di Gaza, operasi ketenteraan yang dilancarkan (di Rafah) akan menjadi bencana kepada penduduk Palestin,

“Ianya bukan sesuatu yang kami akan sokong,” tegas Kirby.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Negara AS, Vedant Patel menegaskan pentadbiran Washington tidak akan menyokong sebarang operasi di selatan Gaza tanpa sebarang perancangan serius dan kredibel dalam melindungi nyawa orang awam yang sedang berlindung di Rafah.

Menteri Luar Mesir, Sameh Shoukry menyuarakan amaran sebarang ketegangan berlaku di kawasan sempadan Gaza dengan negaranya akan membawa padah.

Menurut beliau, operasi ketenteraan di Rafah membawa risiko yang besar kerana keadaan kawasan terhad dan bilangan pelarian yang begitu ramai.

Wall Street Journal sebelum ini melaporkan pihak kerajaan Mesir memberi amaran perjanjian damai beberapa dekad antara Kaherah-Tel Aviv akan digantung jika Rafah diserang atau sekiranya pelarian Palestin dipaksa ke Semenanjung Sinai.

Dalam pada itu, Arab Saudi melalui Kementerian Luarnya menegaskan sebarang operasi ketenteraan terhadap Rafah akan membawa padah.

“Kerajaan Arab Saudi memberi amaran akan kesan yang lebih buruk sekiranya Rafah diserang dan disasarkan oleh tentera Israel,

“Rafah menjadi tempat perlindungan terakhir ratusan ribu penduduk awam yang terpaksa menjadi pelarian berikutan perang,” katanya dalam satu kenyataan.

Arab Saudi menegaskan gencatan senjata perlu diadakan dengan segera.

Perkara yang sama turut dinyatakan oleh Kementerian Luar Qatar berhubung kemungkinan operasi Israel terhadap Rafah.

“Pihak Majlis Keselamatan PBB perlu mengambil tindakan dengan segera untuk menghalang Israel dari menggempur Rafah dan melakukan genosid,” kata kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Perang Gaza 2023 tercetus semenjak 7 Oktober lalu kini memasuki hari ke-128. Kementerian kesihatan Palestin menyatakan angka korban akibat peperangan tersebut telah melebihi angka 28 ribu.

“Seramai 28,064 dilaporkan terkorban dan 67,611 lagi cedera,” katanya. – airtimes.my

#AirTimes #Global

Related Articles

Leave a Reply