Home Pertahanan dan Keselamatan Hazani dilantik Ketua Pengarah Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia

Hazani dilantik Ketua Pengarah Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 1 Feb – Datuk Seri Hazani Ghazali dilantik Ketua Pengarah Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (Malaysia Checkpoints and Border Agency, MCBA) yang pertama, berkuat kuasa semalam.

Perkara itu diumumkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam sidang media khas Kementerian Dalam Negeri (KDN) selepas selesai Mesyuarat Jemaah Menteri, pada Rabu.

Hazani sebelum ini memegang jawatan sebagai Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman sejak September 2021.

Beliau berkata, Hazani merupakan individu berpengalaman dan mempunyai legasi dalam penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Lahad Datu yang mengawal keselamatan di Timur Sabah.

“Pelantikan beliau adalah berdasarkan kelayakan dan pengalaman yang luas selama 37 tahun dalam bidang keselamatan dan ketenteraman negara serta penguatkuasaan dan kawalan undang-undang,

“Kita perlukan individu yang mempunyai commanding skill dan tugas utama beliau kini adalah menyegerakan pembikinan rang undang-undang ke arah menjelmakan entiti MCBA ini,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata, pihaknya menjangkakan Rang Undang-Undang MCBA dibentangkan pada sesi Parlimen Mac ini.

MCBA merupakan agensi barisan hadapan di pintu masuk negara termasuk pelabuhan yang bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan kawalan sempadan serta pemeriksaan secara bersepadu dan komprehensif.

Pelaksanaan MCBA merupakan agenda nasional dalam memperkasa 3 aspek utama iaitu meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan di pintu masuk negara, mengurangkan ketirisan hasil negara dan meningkatkan aspek integriti dalam kalangan penguat kuasa bagi mengawal dan melaksanakan pemeriksaan antara lain terhadap orang, barang, kenderaan, binatang dan tumbuhan.

Pada pembentangan Belanjawan 2024 lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penubuhan sebuah agensi tunggal sempadan negara (SBA) sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara.-airtimes.my

#keselamatan #MCBA #airtimes #KDN

Related Articles

Leave a Reply