Home Pertahanan dan Keselamatan Korea Selatan, Malaysia sepakat tingkatkan kerjasama industri pertahanan

Korea Selatan, Malaysia sepakat tingkatkan kerjasama industri pertahanan

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 28 JAN – Malaysia dan Korea Selatan telah bersetuju untuk mempertingkatkan kerjasama ketenteraan dan industri pertahanan.

Perkara tersebut telah dinyatakan oleh Kementerian Pertahanan Nasional Korea Selatan.

Menurutnya dalam satu kenyataan, satu mesyuarat pertahanan peringkat kerja di antara kedua-dua pihak telah diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jelasnya, Mesyuarat Koordinasi Polisi Pertahanan tersebut merupakan kali pertama diadakan.

Mesyuarat ini dihadiri oleh Ketua Pengarah Polisi Antarabangsa Kementerian Pertahanan Nasional Korea Selatan, Lee Seung-beom dan Mohd. Yani  Daud, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan Malaysia.

“Kedua-dua wakil telah bersetuju untuk memperluaskan kerjasama dalam pelbagai perkara,

“Ini termasuklah memperkukuhkan kerjasama keselamatan siber, memperluaskan latihan bersama serta kerjasama industri pertahanan,” kata kenyataan itu.

Kementerian Pertahanan Nasional Korea Selatan menambah, mesyuarat itu juga memutuskan untuk membentuk satu pelan kerjasama yang konkrit pada masa hadapan.

Dalam pada itu, kenyataan yang sama turut menyatakan mesyuarat tersebut membincangkan isu Korea Utara.

“Lee Seung-beom telah menjelaskan pendirian Korea Selatan serta usaha untuk menangani provokasi oleh Pyongyang,

“Wakil Malaysia telah menyatakan mereka memahami isu tersebut yang boleh menjejaskan keamanan dan kestabilan serantau,

“Selain itu Yani serta menyuarakan sokongan terhadap polisi Seoul dalam menangani ancaman dan provokasi oleh Korea Utara,” kata kenyataan itu.

Malaysia dan Korea Selatan sebelum ini telah meterai Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pertahanan pada tahun 2022.

Kementerian Pertahanan Nasional Korea Selatan menyatakan pembelian pesawat FA-50 oleh Malaysia pada tahun lalu merupakan langkah ke hadapan dalam kerjasama pertahanan kedua-dua pihak.

Pembelian 18 buah FA-50 Block 20 pada tahun lalu merupakan langkah pertama perolehan pesawat tempur ringan (FLIT/LCA) untuk program CAP55 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Malaysia dijangka akan menerima pesawat pertama pada tahun 2026.

Malaysia sebelum ini mempunyai hubungan diplomatik dengan Korea Utara. Namun begitu, Pyongyang telah memutuskan hubungan tersebut pada 19 Mac 2021. Ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak rayuan ahli perniagaan, Mun Chol Myong dari diektradisi ke Amerika Syarikat.

Ia merupakan kemuncak ketegangan hubungan diplomatik antara Putrajaya-Pyongyang selepas insiden pembunuhan Kim Jong-nam pada tahun 2017. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #KoreaSelatan #Pertahanan

Leave a Reply