Home Teknologi Pertahanan Iran hantar kapal perang berusia 51 tahun ke Laut Merah

Iran hantar kapal perang berusia 51 tahun ke Laut Merah

by M.Daim

TEHRAN, 22 JAN – Tentera Laut Iran (NEDAJA) telah menghantar kapal perang ke Laut Merah bagi memberikan pelindungan kepada kapal pengangkut minyak negara itu.

Perkara tersebut ditegaskan oleh komander NEDAJA, Shahram Irani.

Beliau mengulas kehadiran kapal frigat kelas ALVAND, IRIS ALBORZ di Laut Merah baru-baru ini.

“Kehadiran (kapal) di Laut Merah merupakan bukti komitmen Iran untuk melindungi kepentingan komersil dan keselamatan pelayaran di kawasan serantau,

“Alborz beroperasi di kawasan di mana kuasa besar tidak berani untuk hadir,” kata Shahram yang dipetik oleh media Iran.

Menurut beliau, Iran akan menghantar kapalnya ke Laut Merah dalam masa terdekat.

Terdahulu, IRIS ALBORZ dilaporkan telah memasuki kawasan perairan itu, pada awal Januari lalu.

Media Iran melaporkan NEDAJA telah beroperasi di kawasan perairan itu semenjak 2009 bagi membendung ancaman kegiatan lanun dan mengawal laluan perkapalan.

IRIS ALBORZ merupakan frigat kelas ALVAND yang dioperasikan oleh Iran semenjak tahun 1971, beberapa tahun sebelum revolusi tercetus di negara teluk itu.

Ia merupakan salah sebuah daripada 4 kapal perang yang dibekalkan British kepada Iran pada era 1960-an.  Kapal kelas ini adalah berdasarkan rekaan Vosper Mark V

Ketika ditauliahkan, ALBORZ telah diberikan nama ZAAL. Perubahan nama dibuat selepas Revolusi Iran 1979.

Dalam 51 tahun pengoperasiannya, kapal ini pernah digunakan oleh Iran untuk menghantar bekalan persenjataan kepada Houthi pada tahun 2015.

Pada ketika itu, Tehran mencabar sekatan laut yang dikenakan oleh negara Arab ketika konflik di Yaman memuncak. – airtimes.my

#AirTimes #Iran #TeknologiPertahanan

Related Articles

Leave a Reply