Home Pertahanan dan Keselamatan MINDEF bantu anggota, veteran ATM terjejas banjir – Adly

MINDEF bantu anggota, veteran ATM terjejas banjir – Adly

A+A-
Reset

KOTA BHARU, 11 Jan – Seramai 131 anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) direkodkan terkesan akibat bencana banjir di Kelantan dan Terengganu baru-baru ini.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, jumlah itu melibatkan 49 anggota di bawah Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 Bgd), manakala 47 orang veteran di Kelantan dan 35 veteran di Terengganu.

Adly berkata, pihaknya juga masih mengumpul maklumat lengkap mengenai anggota atau veteran tentera yang terjejas akibat banjir termasuk di Johor.

“Bagi veteran ATM, Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) akan meneliti beberapa aspek untuk bantuan, iaitu dari segi pembaikan rumah dan keperluan selepas banjir,

“Setakat ini, pihak kami tidak menerima laporan aset dan kem tentera rosak serta ditenggelami banjir,” katanya seperti dilapor Bernama.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja pascabanjir di Markas 8 Briged, Kem Pengkalan Chepa, hari ini.

Turut dihadiri, Panglima 8 Bgd, Brigedier Jeneral Muzamil Ali.

Sementara itu, beliau berkata, terdapat seramai 279 pegawai dan anggota serta beberapa aset tentera seperti lori dan bot diatur gerak ke lokasi terlibat untuk membantu mangsa di Johor.

“Kementerian Pertahanan (MINDEF) menetapkan hampir 18,000 anggota untuk persediaan banjir di seluruh negara,

“Oleh itu, untuk banjir di Johor juga kita akan tengok keperluan dari semasa ke semasa berdasarkan kepada kawasan yang terlibat untuk menempatkan anggota,” tambahnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Adly berkata, lebih 33,000 veteran ATM telah menerima manfaat daripada skim kebajikan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dengan jumlah bantuan keseluruhan bernilai lebih RM62.5 juta.

“Skim ini merupakan program bantuan kewangan bagi menjaga kebajikan veteran ATM dan tanggungan mereka yang berkelayakan agar dapat memperbaik dan menjalani kehidupan lebih selesa,

“Selain itu, Program Peduli Veteran di seluruh negara akan diteruskan dengan sasaran sekurang-kurangnya 800 program dilaksanakan setiap tahun bagi memastikan semua veteran ATM dapat menikmati bantuan dan kemudahan yang disediakan,” ujarnya lagi.-airtimes.my

#banjir #pertahanan #airtimes #ATM #Mindef

Leave a Reply