KUALA LUMPUR, 2 Jan – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menyerbu beberapa lokasi di Brickfields atau lebih dikenali ‘Little India’ dan memeriksa 370 warga asing pada hari pertama tahun baharu 2024.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Jafri Embok Taha berkata, 370 individu yang diperiksa terdiri daripada warga India, Bangladesh, Filipina, Pakistan, Sri Lanka, Indonesia, Myanmar dan Nepal berusia dari 25 tahun hingga 71 tahun, dengan 335 daripadanya lelaki dan 35 wanita.
Manakala, lebih 100 individu ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan termasuk tiada dokumen pengenalan diri yang sah.
Jelasnya, sebanyak 30 premis diperiksa dalam serbuan operasi bersepadu bersama agensi penguat kuasa lain termasuk Jabatan Pendafatan Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Dalam operasi ini, lebih 100 pendatang tanpa izin yang ditahan dan dibawa ke Depot Tahanan Jabatan Imigresen di Semenyih untuk disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,
“Ini kerana mereka melakukan kesalahan antaranya tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa dan pemegang kad yang tidak diiktiraf,” katanya seperti di lapor Bernama.
Jafri berkata, serbuan itu adalah susulan aduan daripada orang ramai berhubung kebanjiran warga asing di kawasan berkenaan.
Operasi yang bermula sekitar jam 1 tengah hari dan berakhir jam 3 petang diperkuatkan dengan 224 petugas melibatkan anggota JIM dan dibantu oleh JPN (11) serta APM (6).
Mengulas lanjut, Jafri berkata, operasi bersepadu seumpama itu akan terus dilaksanakan selepas ini di seluruh negara.
Kata beliau, beberapa lokasi panas di Lembah Klang telah dikenal pasti sebagai ‘pusat’ berkumpul warga asing.
Namun begitu tegasnya, sasaran utama JIM pada tahun ini adalah memburu majikan atau kumpulan sindiket yang melindungi warga asing tanpa permit.
Jelasnya, kumpulan tersebut dipercayai menjadi punca sebenar kebanjiran warga asing di negara ini. -airtimes.my
#JIM #pati #Malaysia #airtimes
