Home Pertahanan dan Keselamatan OP Murni: Lebih 18,000 anggota ATM siap siaga hadapi musim banjir

OP Murni: Lebih 18,000 anggota ATM siap siaga hadapi musim banjir

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 11 NOV – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengaturgerakkan seramai 18,616 pegawai dan anggota yang diletakkan dalam keadaan bersiap siaga menerusi Op Murni bagi menghadapi bencana banjir.

Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataan memaklumkan, operasi itu dijalankan bagi membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Pihak Berkuasa Awam (PBA) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mengendalikan situasi bencana banjir yang dijangka berlaku sekiranya diperlukan.

Menurut TDM, skop penugasan ATM semasa berlakunya bencana termasuklah menyediakan bantuan angggota di semua peringkat dan bantuan pengangkutan secara terhad bagi pergerakan di darat, udara dan laut.

“ATM akan menyediakan bantuan peralatan logistik seperti peralatan jentera, khidmat kepakaran seperti pakar letupan, kejuruteraan, perhubungan perubatan medan, pemindahan ketika bencana, bantuan penyelam bagi operasi mencari dan menyelamat,

“Aset-aset tentera juga akan digerakkan antaranya 307 buah bot, 372 kenderaan 1 tan, 660 kenderaan 3 tan, 25 kenderaan 5 tan, 13 kenderaan 7 tan dan 26 buah pesawat,” menurut TDM pada Jumaat.

Selain itu TDM menjelaskan, sebanyak 2 Tim FMT (Forward Medical Team) Tahap 1, berkuatan
1 pegawai perubatan dan 4 Paramedik bagi setiap tim akan ditubuhkan di setiap formasi Briged TDM.

Tambah kenyataan itu, Hospital Medan ATM Tahap 2 yang mempunyai kemudahan Dewan Bedah, Bius dan ICU dengan 112 staf terdiri daripada 6 pakar perubatan, 6 pegawai perubatan, 100 staf sokongan klinikal dan bukan klinikal akan diaturgerak sekiranya hospital kerajaan terputus hubungan.

“Selain itu, ATM juga akan menyediakan bantuan bagi program pemulihan dan pembangunan semula selepas bencana sekiranya diperlukan,” jelas kenyataan itu.

Dalam pada itu, ATM juga melantik Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan sebagai peneraju Op Murni melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM dan diberi kuasa Operational Command ke atas atur gerak anggota.

Menurut kenyataan itu, ATM sentiasa menyatakan kesediaan untuk membantu pihak-pihak terlibat bagi mengendalikan situasi bencana tersebut sekiranya diperlukan.

“ATM sentiasa menzahirkan komitmen dan bersedia untuk membantu agensi kerajaan dan rakyat ketika menghadapi saat sukar berdepan bencana, tidak kira apa juga situasi yang dihadapi demi memastikan kesejahteraan rakyat dan negara,” jelas kenyataan itu lagi. -airtimes.my

#pertahanan #banjir #ATM #NADMA #airtimes

Related Articles

Leave a Reply