KUALA LUMPUR, 9 NOV – Projek Pembangunan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) Wardieburn Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melibatkan pembinaan 974 buah unit kediaman.
Manakala, projek perumahan SASaR ATM Kem Genting Klang pula melibatkan pembinaan 6,400 unit kediaman dan dijangka siap secara berfasa mulai tahun 2026 hingga 2027.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kos pembinaan bagi perumahan SASaR ATM ini menelan belanja sebanyak RM2.4 bilion yang dibiayai sepenuhnya oleh pemaju, iaitu Platinum Victory Development Sdn Bhd.
Menurutnya, projek SASaR ini berdasarkan konsep subsidi bersilang dengan kerajaan akan menyediakan tanah kepada pemaju untuk membina rumah di bawah harga pasaran.
“Di bawah projek SASaR ATM ini, pemaju akan melaksanakan pemindahan dan pembangunan semula Kem Pusat Latihan Kor Polis Tentera Diraja (PULAPOT) dan Unit Army Red Warrior (ARW) ke Kem SiRusa Port Dickson, Negeri Sembilan, serta Kem 12 Kompeni Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) ke Kem Wardieburn,
“Rumah SASaR ini akan dilengkapi dengan kemudahan asas yang digariskan dalam Dasar Perumahan Mampu Milik Negara, malah bagi SASaR Wardieburn, terdapat juga kemudahan tambahan seperti kolam renang, gimnasium dan 2 lot parkir bagi setiap rumah,
“Para anggota ATM boleh membuat permohonan bagi pembelian unit SASaR ini yang telah dibuka sebaik selesai majlis perasmian pagi tadi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian projek perumahan SASaR yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Kem Wardieburn, Setapak.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melawat rumah contoh dan perasmian Projek Perumahan SASaR di Kem Wardieburn, Setapak, hari ini.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan projek perumahan di bawah program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) di Kem Wardieburn dan Kem Genting Klang, Setapak.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda di Kem Wardieburn, disambut Menteri Pertahanan dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Projek SASaR ditawarkan dalam 5 jenis harga berbeza mengikut keluasan kediaman itu bermula daripada unit 1,000 kaki persegi (kp) berharga RM150,000, unit 1,100 kp berharga RM199,000; unit 1,200 kp bernilai RM250,000; unit jenis 1,400 kp berharga RM350,000 dan akhirnya unit berkeluasan 1,500 kaki persegi berharga RM400,000 iaitu 50 peratus lebih murah dari harga pasaran semasa.
Mengulas lanjut, beliau berkata, penjualan unit rumah SASAR ditetapkan secara kouta iaitu 80 peratus kepada anggota dalam tugas, 15 peratus kepada veteran ATM dan baki 5 peratus lagi kepada warga kerja awam di Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Sehubungan itu, MINDEF menyarankan agar anggota ATM terutamanya dalam kalangan anggota lain-lain pangkat yang masih muda dan baru berkhidmat untuk mengambil peluang membeli unit perumahan SASaR dan melabur demi masa depan memiliki rumah pada usia muda.
Projek pembinaan perumahan SASaR ATM Wardieburn dan Setapak itu merupakan inisiatif MINDEF bagi memberi peluang kepada anggota ATM, veteran ATM dan warga kerja awam di kementerian untuk memiliki kediaman yang selesa di Kuala Lumpur.
Bagaimana pun, Mohamad berkata, kementeriannya kini sedang meneliti tahan-tanah milik MINDEF yang boleh dibangunkan menjadi projek rumah SASaR ATM.
“Projek SASaR ini bukan berakhir di Kuala Lumpur sahaja, pada masa sama kita mahu memperluaskannya ke beberapa bandar raya di negeri lain macam di Pulau Pinang, Ipoh, Kota Bharu, Johor Bahru dan Seremban,
“Namun kita tidak boleh mengusahakan tanah-tanah kosong itu sewenang-wenangnya dengan terus membina rumah tentera dalam Markas ATM dan kem Tentera,
“Sekiranya tidak ada sebarang keperluan atau rancangan membangunkan tanah itu untuk 10 atau 20 tahun akan datang maka berdasarkan pandangan dan cadangan markas ATM kita akan cuba bina rumah sebanyak mungkin rumah RKAT untuk keluarga angkatan tentera dan rumah SASaR di tanah milik ATM itu,” ujarnya lagi.-airtimes.my
#ATM #SASaR #rumah #pertahanan #MindefMalaysia #airtimes