KUALA LUMPUR, 28 SEPT – Markas Pemerintahan Indo-Pasifik Amerika Syarikat (USINDOPACOM) telah menyerahkan aset Forward Anesthesia Surgical Trauma (FAST) kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Penyerahan disempurnakan oleh Kuasa Usaha Kedutaan Amerika Syarikat, Manu Bhalla kepada Leftenan Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD) di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur, hari ini.
“Keupayaan ICU mudah alih ini mengukuhkan hubungan orang awam dengan ketenteraan kami,
“Ia juga memberi peluang kepada kami untuk bekerjasama menangani krisis kemanusiaan di Malaysia dan di seluruh dunia,” kata Manu Bhalla ketika menyampaikan ucapan.
Beliau menambah, pihak Kedutaan Amerika Syarikat sangat menghargai hubungan kukuh dengan NADMA dan Perkhidmatan Kesihatan ATM.
Menurut beliau, hubungan ini semakin mengukuh sejak pandemik COVID-19 bermula pada tahun 2020.
“Kami amat berbangga dapat membantu tindak balas COVID Malaysia dengan menderma bantuan
COVID-19, 1 juta vaksin Pfizer, peralatan perlindungan diri dan kit ujian pantas, pada tahun 2021,” katanya.
Timbalan Panglima Tentera Darat menjelaskan aset ini akan digunakan semasa bencana alam.
“Sebagai contoh, sekiranya berlaku insiden seperti Betong Kali (tanah runtuh), aset sebegini akan digunakan,” katanya semasa sidang media.
Beliau menambah, aset yang diserahkan adalah bernilai RM6 juta
Sementara itu, Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan berkata, aset FAST ini telah pun digunakan dan telah berjasa di dalam pengoperasian Hospital Medan Malaysia semasa misi bantuan kemanusiaan di Turkiye (Op Stralight II)
“52 item aset FAST ini merupakan peralatan perubatan yang digunakan untuk menjalankan pembedahan pesakit yang memerlukan bius penuh dan bius separuh,” kata kenyataan itu. – airtimes.my