Home Pertahanan dan Keselamatan #Pertahanan: 3 pos imbangan di sempadan Sarawak-Kalimantan siap Februari 2024

#Pertahanan: 3 pos imbangan di sempadan Sarawak-Kalimantan siap Februari 2024

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 25 SEPT – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini sedang dalam melaksanakan pembinaan 3 pos imbangan baharu di sempadan Sarawak – Kalimantan (Indonesia) yang dijangka siap sepenuhnya pada bulan Februari 2024.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, ia adalah sebagai usaha kerajaan dalam melindungi keselamatan sempadan Sarawak-Kalimantan terutama setelah ibu kota negara Indonesia dipindahkan ke Borneo.

Jelasnya, sehingga kini Sarawak telah mempunyai 13 pos kawalan sempadan dan 6 Pos Gabungan Bersama (GABMA) antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentara Nasional Indonesia – Angkatan Darat (TNI – AD) yang bermula dari kawasan Biawak hingga ke Ba’kelalan.

Sebagai penambahan beliau berkata, terdapat 3 pos imbangan baharu yang sedang dibina, iaitu 2 pos imbangan baharu di Rapak Baru, Bahagian Sri Aman dan Tetangga Akrab, Bahagian Serian yang dijangka siap pada Oktober 2023,

“Manakala, sebuah pos imbangan baharu di Mengkalap, Bahagian Limbang dijangka siap pembinaannya pada Februari 2024,” katanya semasa Penggulungan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Negara, hari ini.

Selain itu, Adly berkata, 5 lagi pos imbangan baharu dirancang pembinaannya pada November 2023 iaitu di Kandaie 2, di Bahagian Kuching; Melikin dan Tong Nibong, di Bahagian Serian; Nanga San, di Bahagian Sri Aman dan Pa Dalih, di Bahagian Miri.

“Pada tahun 2024 pula, dirancang pembinaan 2 lagi pos imbangan baharu iaitu di Ensawang dan Long Singut, Bahagian Sri Aman, Sarawak,” jelasnya lagi.

Sementara itu, di Sabah, terdapat penambahan 2 pos imbangan baharu iaitu di Tambulanan dan Felda Selatan, Bahagian Tawau yang dijangka siap pembinaannya pada Oktober 2024.

“Seterusnya, sebuah lagi pos imbangan baharu di Ladang Brantian, Bahagian Tawau dirancang pembinaannya pada tahun 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab persoalan dibangkitkan Senator Datuk Paul Igai dan Senator Datuk Ahmad Datuk Seri Ibrahim.

Mereka sebelum ini membangkitkan usaha memperkukuhkan kawalan keselamatan di sempadan Sarawak/Sabah–Kalimantan yang melibatkan projek pembagunan dan perolehan aset ATM.

Mengulas lanjut, beliau berkata, usaha-usaha mempertingkatkan kawalan persempadanan negara dengan negara jiran sentiasa menjadi keutamaan Kementerian Pertahanan.

“TDM telah melaksanakan pelbagai operasi kawalan sempadan daratan di sepanjang sempadan antara Sarawak/Sabah (Malaysia) dan Kalimantan (Indonesia),

“Oleh itu, pembinaan pos-pos baharu telah diberi keutamaan bertujuan untuk mengimbangi pos-pos keselamatan negara jiran Indonesia telah diberikan keutamaan,” tegasnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply