BUTTERWORTH, 21 SEPT – Eksesais COPE TAUFAN 2023 (Eks CT23) telah dilaksanakan mulai hari ini.
Eksesais ini merupakan latihan bilateral melibatkan Tentera Udara Diraja Malaysia dan United States Pacific Air Forces (US PACAF).
TUDM di akaun media sosial rasminya berkata, majlis perasmian Eks CT23 telah disempurnakan oleh Brigedier Jeneral Khairol Muzambi Salehin TUDM, Komander Pangkalan Udara Butterworth.
“Pemakaian patch eksesais oleh Komander Pangkalan Udara Butterworth menandakan permulaan Eks CT23 mulai hari ini hingga 29 September 2023,” katanya.
TUDM menambah eksesais ini turut melibatkan 10 Briged Para dari Tentera Darat Malaysia.
Pada 15 September lalu, TUDM menyatakan eksesais ini diadakan bagi memperkasakan kesiagaan angkatan udara itu dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Jet pejuang F-16 tiba di Pangkalan Udara Butterworth bagi melaksanakan Eks Cope Taufan 2023. Foto: 374th Airlift Wing Public Affairs/1st Lt. Samantha Perez
Pada masa yang sama, Eks CT23 turut meningkatkan tahap saling kendali (interoperability), perkongsianmaklumat (information sharing), kerjasama serta hubungan dua hala di antara TUDM dengan US PACAF.
Menurutnya, eksesais tersebut melibatkan ruang udara Pulau Pinang, Pahang dan Perak.
Pihak US PACAF menyatakan eksesais ini akan memberi penekanan kepada operasi udara-ke-udara dan penghantaran dari udara.
“Ia turut merangkumi latihan operasi sokongan penerbangan dalam suasana sebenar,” kata kenyataan itu.
Tambahnya, Eks CT23 libatkan 220 anggota tentera dari negara kuasa besar itu.
“Latihan ini melibatkan pesawat C-130 dari Delaware Air National Guards’ 166th Airlift Wing dan jet pejuang F-16 yang dioperasikan 51st Fighter Wing, Osan Air Base, Korea Selatan,” kata kenyataan itu.
Jet pejuang F-16 US PACAF telah selamat tiba ke Pangkalan Udara Butterworth pada 18 September 2023. – airtimes.my