Home Semasa #Semasa: Maklumat tidak lengkap, polis tolak permohonan penganjur Himpunan Selamatkan Malaysia

#Semasa: Maklumat tidak lengkap, polis tolak permohonan penganjur Himpunan Selamatkan Malaysia

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 15 SEPT – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menolak permohonan penganjur perhimpunan yang dirancang pada Sabtu ini, ekoran butiran maklumat yang dikemukakan tidak lengkap.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, antara butiran yang tidak dinyatakan secara terperinci oleh penganjur, ialah lokasi dan nama penganjur perhimpunan ketika membuat permohonan.

“Kami tidak boleh kata terima notis pemakluman sebab maklumat diberikan tidak lengkap, maka polis tidak boleh terima,

“Sebelum ini, dikatakan perhimpunan akan dibuat di sekitar sebuah pusat beli-belah di ibu negara, namun maklumat terkini diterima polis menyatakan ia akan dibuat di salah sebuah masjid di Kampung Baru,” katanya seperti di lapor Bernama.

Menurut Mohd Shuhaily, notis berkenaan tidak membantu pihak polis kerana tiada ketetapan daripada pihak penganjur.

“Ini akan sukarkan ramai pihak termasuk pengguna jalan raya, saya amat berharap penganjur bertanggungjawab bantu kami untuk selaraskan penugasan pada Sabtu ini,” ujarnya lagi.

Tambahnya, ketenteraman awam sentiasa menjadi keutamaan PDRM, sekali gus akan membuat persediaan sewajarnya jika perhimpunan itu dibuat.

“Polis tidak mahu bertindak berlebihan dan kami akan membuat persediaan. Saya percaya mereka individu berpengalaman dalam menganjurkan perhimpunan seperti ini dan faham mengenai implikasi undang-undang,” katanya.

Terdahulu, Sekretariat Gerakan Selamatkan Malaysia dalam kenyataan memaklumkan, Himpunan Aman Selamatkan Malaysia akan diadakan pada Sabtu ini di hadapan kompleks membeli-belah Sogo, namun bertukar ke Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Menurut kenyataan sekretariat itu, himpunan ini dibuat dalam usaha mengembalikan semula integriti dan maruah negara yang tercalar akibat pengguguran kes rasuah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Tambah mereka, sekretariat ini dibentuk menggabungkan parti-parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang bersetuju dengan asas dan prinsip yang sama.

Sementara itu, media turut melaporkan polis sudah menerima 6 laporan berhubung penganjuran perhimpunan itu. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply