Home Pertahanan dan Keselamatan #Pertahanan: Tan Sri ‘Apai’ mesra, mudah didekati – Mantan KS Tentera Darat

#Pertahanan: Tan Sri ‘Apai’ mesra, mudah didekati – Mantan KS Tentera Darat

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 6 SEPT – “Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM dikenali dengan sikap yang begitu santai dan mudah didekati. Beliau juga seorang yang sangat mesra dengan rakan-rakannya,” luah mantan Ketua Staf Tentera Darat (KS TD), Leftenan Jeneral (B) Datuk Subari Tomo.

Beliau yang juga Presiden Kelab Intek 38 (i38) berkata, walaupun sibuk dengan tugasan sebagai Panglima Angkatan Tentera, Affendi tidak ketinggalan untuk meluangkan masa dan ruang bersama-sama mereka dalam satu organisasi besar.

“Kami mengenali Tan Sri hampir selama 9 bulan ketika sama-sama menjalani latihan kadet dari peringkat awal sehingga ditauliahkan,

“Semangat setia kawan kami dari dahulu sehingga kini boleh diibaratkan sebagai satu keluarga yang begitu erat,

“Jadi, hari ini kami seramai 40 orang hadir untuk meraikan dan merasa bangga terhadap Tan Sri Affendi,” jelasnya kepada Air Times selepas Istiadat Perbarisan Penghargaan kepada Jeneral Tan Sri Affendi Buang sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-21 yang diadakan di Pangkalan Udara Kuantan, pada Isnin lalu.

Sebahagian pegawai Intek 38 telah hadir pada Perbarisan Penghargaan Panglima Angkatan Tentera ke-21 di Pangkalan Udara Kuantan, Isnin lalu.

Subari turut menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada salah seorang skuadnya yang lebih mesra dipanggil Apai kerana berjaya memegang jawatan tertinggi dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurutnya, seluruh Kelab i38 sentiasa mendoakan agar Affendi terus cemerlang dan maju jaya selepas bersara serta diberikan kesihatan yang baik-baik.

“Saya mewakili intek 38 yakin bahawa Tan Sri akan lebih berjaya dalam kerjayanya selepas persaraan dan dengan latar belakang serta pengalaman yang ada pada Tan Sri, saya berharap Tan Sri dapat mencurahkan khidmat bakti lebih cemerlang selepas ini,

“Gunakanlah segala pengalaman dan ilmu yang ada untuk menabur jasa dan bakti kepada masyarakat ,” ujarnya lagi.

Presiden Kelab i38, Lt Jen Datuk Subari Tomo (BERSARA) mewakili intake 38 telah menyampaikan Buku Memoir i38 kepada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM, selepas Istiadat Perbarisan Penghargaan Panglima Angkatan Tentera ke-21 yang diadakan di Pangkalan Udara Kuantan, pada Isnin lalu.

Dalam majlis yang sama, Subari juga berkesempatan menyerahkan Buku Memoir i38 kepada Affendi sebagai tanda penghargaan dari kelab tersebut.

“Buku Memoir i38 Edisi Ke-2 ini adalah kesinambungan dari buku edisi pertama yang diterbitkan sempena sambutan Jubli Perak pada tahun 2006,

“Segala kenangan selama 43 tahun bersama dihimpunkan dalam buku tersebut. Ia dijadikan satu koleksi kenang pahit manis ketika bersama dahulu,” jelas Subari.

 

Sebagai rekod, Affendi telah mengambil alih jawatan Panglima Angkatan Tentera daripada Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, Panglima Angkatan Tentera ke-20 pada 2 Januari 2020.

Anak kelahiran Kuching, Sarawak ini memulakan karier ketenteraannya sebagai pegawai kadet Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada tahun 1980 dan menerima latihan asas di Sekolah Kadet, Sebatang Kara, Port Dickson.

Pada tahun 1981, beliau telah dipilih untuk menjalani Latihan Asas Terbang di TUDM Alor Setar dan ditauliahkan ke dalam TUDM sebagai Leftenan Muda pada tahun 1982.

Affendi berpengalaman dalam mengendalikan pesawat Aermacchi MB-339, McDonnell Douglas A-4 Skyhawk dan MiG-29N. Beliau turut terlibat secara aktif dalam melaksanakan operasi serangan udara semasa era Insurgensi Komunis pada lewat 1980-an.

Panglima Angkatan Tentera Ke-21, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM dan isteri, Tengku Muhaini Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah selaku Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT ATM dirai dalam acara tradisi ‘Send Off’ menggunakan pesawat MIG 29 UB dan ‘Street Lining’ sebagai tanda penghormatan serta penghargaan kepada beliau dan isteri.

Selain daripada itu, Affendi merupakan salah seorang pengasas pasukan aerobatik ‘The Smokey Bandits’. Pasukan aerobatik ini ditubuhkan pada tahun 2001 dan menggunakan 5 buah pesawat MiG-29N/NUB. Affendi mengetuai pasukan ini sepanjang perkhidmatan beliau sebagai Pegawai Memerintah No17/19 Skuadron dari tahun 2002 sehingga 2004.

Sepanjang kariernya, Affendi telah menjawat pelbagai jawatan sama ada di peringkat taktikal, operasi dan juga strategik. Antara jawatan penting yang pernah dijawat adalah Panglima Angkatan Bersama, Panglima Operasi Udara TUDM, Timbalan Panglima Tentera Udara dan Panglima Tentera Udara ke-18 sebelum menjawat jawatan sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-21.

 

Perjalanan tugas Affendi sebagai PAT Ke-21 telah melalui episod yang amat mencabar khususnya ketika negara dan dunia diserang pandemik COVID-19.

Dengan kebijaksanaan dan wawasan yang dimiliki, Affendi telah berjaya membantu negara dalam mengawal penularan pandemik melalui bantuan yang diberikan kepada pihak Polis Diraja malasyia (PDRM) di dalam OP PENAWAR dan mengetuai National Task Force (NTF) untuk menjayakan OP BENTENG.

ATM turut mengaturgerak Hospital-hospital Medan ATM bagi menampung beban sistem kesihatan negara selain turut menggembleng usaha merealisasikan Program Immunisasi COVID-19 Kebangsaan dengan jayanya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply