Home Diskusi #Pertahanan: Kolumnis – Perbarisan Hari Kemerdekaan dedah aset-aset Tentera Darat ketinggalan

#Pertahanan: Kolumnis – Perbarisan Hari Kemerdekaan dedah aset-aset Tentera Darat ketinggalan

by Zaki Salleh

Perbarisan Hari Kemerdekaan ke-66 disifatkan banyak pihak, khususnya masyarakat awam sebagai acara yang paling gemilang dan berjaya. Lebih 100,000 pengunjung hadir menyaksikan sambutan di Dataran Putrajaya itu.

Dengan penyertaan kira-kira 7,262 peserta, 67 kontinjen, 36 kumpulan pancaragam, 534 aset darat dan aset udara serta 100 ekor haiwan dalam perkhidmatan, ia memukau mata khalayak.

Di sebalik semua kebanggaan tersebut, perbarisan Hari Kemerdekaan ke-66 ini menonjolkan satu aspek yang mungkin tidak diambil berat pihak lain iaitu kekurangan aset-aset yang dimiliki Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Melihat pada perarakan aset dan kenderaan, ia menunjukkan lompang kekuatan ATM khususnya Tentera Darat sangat ketara.

Aset pertahanan udara jauh ketinggalan

Semasa perarakan Hari Kemerdekaan, antara aset yang dipamerkan ialah meriam pertahanan udara Oerlikon  GDF 35mm yang merupakan satu-satunya meriam penangkis udara Tentera Darat. Meriam Oerlikon 35mm buatan Switzerland ini yang adalah antara senjata terbaik dalam kelasnya telah dimiliki sejak 33 tahun lalu.

Selain meriam penangkis, sistem pertahanan udara Tentera Darat terbatas pada kemampuan peluru berpandu pertahanan udara jarak sangat dekat (VSHORAD). Dua jenis aset peluru berpandu VSHORAD yang dipamerkan pada perbarisan tersebut ialah sistem Igla buatan Rusia yang dipasang atas kenderaan Vamtac dan Thales Starstreak.

Hanya sistem peluru berpandu Starstreak merupakan aset terbaru dalam pegangan Gerup Artileri Pertahanan Udara (GAPU). Itupun diterima daripada Pasukan Pertahanan Udara TLDM (PPU TLDM). Starstreak diserahkan kepada Tentera Darat pada April tahun lalu setelah PPU TLDM dibubarkan. Difahamkan, jumlah aset ini bagaimana puin tidak banyak iaitu sekitar satu bateri sahaja.

Sistem Starstreak dibeli kerajaan pada ta

hun 2014 daripada firma UK Thales Air Defence Ltd. bagi menggantikan peluru berpandu lancaran bahu Starburst yang digunakan PPU TLDM dan PPU TUDM.

Sebagai perbandingan, Myanmar iaitu antara negara yang dikatakan termiskin di Asia Tenggara serta negara paling kurang membangun di Asia, sebaliknya memiliki aset pertahanan udara berkali ganda kuat berbanding Malaysia. Tentera negara itu memiliki variasi sistem pertahanan udara aras sederhana seperti Tor M-1, SA-6, Buk M-1 dan KS-1A.

Meriam G5 Mk III 155mm

Semasa dibeli pada tahun 2000, keputusan memilih meriam G5 MkIII 155mm buatan Afrika Selatan ini merupakan langkah yang sangat dinanti-nantikan. Sebanyak 22 laras meriam ini menjadi aset Rejimen Artileri Diraja (RAD) menggantikan meriam FH70.

Melihat meriam G5 Mk III yang ditunda semasa perbarisan memberi 1001 perasaan bahawa sistem persenjataan ini telah memasuki usia hampir 20 tahun bersama Tenter Darat. Ini merupakan satu tempoh panjang.

Sejak 25 tahun lalu, Tentera Darat telah merancang untuk menggandakan aset meriam kaliber 155mm sama ada memilih meriam tunda atau pun beralih pada meriam mudah gerak (SP) sesuai dengan keperluan operasi. SP diperlukan kerana sifatnya yang mobil.

Kementerian Pertahanan pada Ogos tahun lalu hampir memuktamadkan keputusan perolehan sistem SP yang mana meriam MKE Yavuz 155mm 52 kaliber buatan Turkiye sebagai pilihan. Kontrak ini termasuk penyediaan kemudahan infrastruktur serta kelengkapan-kelengkapan lain dengan anggaran 18 unit meriam.

Bagaimana pun, tender perolehan sistem SP bernilai hampir RM900 juta ini ditangguh.

Pada tahun 2016, Tentera Darat hampir memiliki kira-kira 20 unit meriam terpakai M109A5 155mm SPH yang ditawarkan Amerika Syarikat sebelum perolehan tersebut kemudian dibatalkan. Sejak tahun 1998, beberapa sistem artileri SP telah diuji Tentera Darat antaranya ialah sistem Caesar 155mm buatan Perancis, Denel G6 155mm (Afrika Selatan), K9 Thunder (Korea Selatan) dan Nexter Caesar (Perancis).

Kereta kebal Pendekar

Tidak dapat dinafikan, aset tempur Tentera Darat yang hebat dan padu semasa perarakan Hari Kemerdekaan lalu ialah kereta kebal PT-91M Pendekar milik Kor Armor Diraja (KAD). Kereta kebal seberat 45 tan ini kelihatan gagah menyelusuri jalan sambil mengacukan meriam kaliber 125mm.

Ironinya, PT-91M Pendekar pertama kali dipertontonkan kepada umum semasa terlibat dalam perbarisan Hari Kemerdekaan ke-44 pada tahuh 2005 di Putrajaya yang telah memberi dimensi baharu dalam kemampuan tempur Tentera Darat.

Pembelian kereta kebal PT-91M Pendekar dimeterai kerajaan pada tahun 2003 dengan firma Bumar Labedy dari Poland.  Rekaan PT-19M yang berasaskan casis kereta kebal utama T-72M1 telah menjalani pengubahsuaian untuk memenuhi keperluan strategik peperangan armor di Malaysia.

Sebanyak 46 buah kereta kebal dibeli bersama kenderaan sokongan melibatkan nilai kontrak keseluruhan kira-kira RM1.4 bilion.

Kumpulan pertama enam buah kereta kebal PT-91M tiba di negara pada Ogos 2007 dikuti kemudian secara beperingkat-peringkat manakala penghantaran terakhir pada tahun 2009 sebanyak 14 buah kereta kebal.

Selepas 16 tahun digunakan Tentera Darat, jumlah aset kereta kebal kekal pada angka sedia ada tanpa penambahan. Sudah sepatutnya bilangan aset kereta kebal Tentera Darat ini ditambah atau rejimen tank diperbesarkan lagi termasuk keperluan di Malaysia Timur.

Walaupun Tentera Darat meletakkan pada konsep ‘heavy mekanise’ dan bukan ‘heavy tank’ pada ketumbukan armor, namun kita tidak boleh menafikan pentingnya perana kereta kebal di medan perang. Bukan sahaja untuk menggempur, kereta kebal dengan meriam kaliber besar juga boleh berperanan sebagai artileri bergerak jika perlu.

Kenderaan armor 10 Briged Para

Pada perbarisan Hari Kemerdekaan ke-66, buat pertama kali 10 Briged Para ditonjolkan sebagai sebuah ketumbukan bebas yang lengkap dengan aset-aset organik. Kontinjen gabungan 10 Briged Para berjaya ditampilkan dengan fungsinya sebagai sebuah pasukan atur gerak cepat lintas udara.

Ini bagaimana pun telah menonjolkan kekurangan aset tempur yang perlu pada briged tersebut iaitu kekuatan armor.

Tentera Darat mempunyai perancangan untuk memperolehi kereta kebal ringan bagi menggantikan aset kereta kebal Alvis Scorpion dan kenderaan APC Stormer yang dioperasikan  Skuadron Armor 10 Briged Para sejak pasukan ini ditubuhkan pada 1992.

Alvis Scorpion buatan Britain dengan meriam kaliber 90mn Cockerill Mk III digandingkan dengan Stormer APC sebagai kenderaan pembawa anggota. Scorpion dengan berat lapan tan asalnya kenderaan peninjau dan bukanlah kereta kebal tetapi ATM memilih agar dipasang dengan meriam 90mm untuk dijadikan kenderaan tempur.

Kereta kebal ini dibeli pada 1978 dan mula digunakan pada 1981 bagi penubuhan Rejimen Ke-11 Kor Armor Diraja (11 KAD) sebagai batalion tank.  Khidmat Scorpion ditamatkan setelah 11 KAD menerima kereta kebal PT91M Pendekar pada tahun 2008.

Pada Disember 2018, 10 kereta kebal ringan Scorpion dalam briged para pula ditamatkan dengan perancangan untuk mendapatkan kenderaan tempur yang sesuai. Sejak tempoh tersebut briged para menggunakan kenderaan tempur infantri MIFV K200, namun ia dilihat kurang bersesuaian dengan ciri-ciri pasukan atur gerak cepat.

Sebelum itu, ada cadangan untuk menaiktaraf Scorpion bagi memanjangkan hayat kenderaan ini menerusi kerjasama ATM dengan syarikat tempatan pada tahun 2016.  Bagaimana pun, ia tidak menarik minat kerajaan selain dikatakan tidak ekonomi.

Pemodenan Tentera Darat, jangan sekadar rancang

Imbas kembali lima tahun lalu, Menteri Pertahanan,semasa era kerajaan Pakatan Harapan 2018 iaitu Mohamad Sabu dalam jawapan pada sesi waktu pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat berkata, cabang aset darat, laut dan udara semasa milik ATM berada di kedudukan terbawah dalam kalangan 10 buah negara ASEAN.

Beliau yang mesra dikenali sebagai Mat Sabu kemudian membuat perbandingan dengan berkata, kononnya keadaan itu jauh berbeza daripada era 1970-an lalu apabila Malaysia berada di kedudukan teratas di peringkat serantau.

Walaupun pada masa itu banyak pihak mengkritik kenyataan beliau kononnya menyebabkan ATM menjadi bahan jenaka apabila data sulit kekuatan ATM didedah secara terbuka di Parlimen, hakikatnya kelemahan aset pertahanan hari ini umpama rahsia terbuka (open secret).

Kenyataan ini bukan bermakna kita memperlekehkan ATM, tetapi mempersoalkan tentang apa justifikasi yang diletakkan kepimpinan atasan dalam memutuskan perlunya sesuatu perolehan diputuskan.

Selepas tahun 2018, pucuk kepimpinan dalam Kementerian Pertahanan silih bertukar ganti namun, rancangan perolehan aset-aset baharu khususnya untuk Tentera Darat tetap berjalan perlahan.

Semakin lama penangguhan dibuat, kemampuan aset yang ada pastinya akan menurun dan jika itu yang berlaku, ATM perlu mengambil masa lebih lama untuk mengembalikan ‘kekuatan’ yang diperlukan. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!