Home Pertahanan dan Keselamatan #Pertahanan: MINDEF tingkat kerjasama pastikan BSEP seiring organisasi siber negara serantau

#Pertahanan: MINDEF tingkat kerjasama pastikan BSEP seiring organisasi siber negara serantau

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=gy42RuMjrv0[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi bagi memastikan Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seiring dengan dengan negara serantau serta global.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, keselamatan siber yang ada pada masa kini perlu dikukuhkan selain memastikan inovasi siber kekal digerakkan.

Beliau berkata, pada zaman teknologi tanpa sempadan yang diterajui bidang seperti Kecerdasan Buatan (AI), Internet of Things dan blockchain kini memberi cabaran kepada negara untuk melindungi maklumat penting.

“Keselamatan negara juga turut terancam. Namun, cabaran itu tidak menghalang kita daripada inovasi sebaliknya seruan untuk mengukuhkan lagi pertahanan,

“Membina langkah keselamatan siber yang mantap dan memupuk budaya kesedaran keselamatan adalah kritikal. Tanpanya, insiden seperti gangguan dan pelanggaran data akan menghakis integriti serta kredibiliti pertahanan negara seterusnya boleh mewujudkan ketidakyakinan di kalangan pelabur dan rakyat,” katanya.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, Kertas Putih Pertahanan menggariskan keperluan menubuhkan pasukan khas bagi mengendali ancaman siber.

Beliau berkata demikian ketika berucap bagi merasmikan Siber Siaga 2023 dan Cyber DSA 2023 di Kuala Lumpur Convention Centre, pada Rabu.

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang serta Ketua Pengarah Siber dan Elektromagnetik Pertahanan ATM, Laksamana Muda Datuk Shamsuddin Ludin.

Mengulas lanjut, Adly berkata, keperluan menubuhkan organisasi untuk mengendalikan domain siber telah termaktub di dalam Kertas Putih Pertahanan bagi memastikan pertahanan siber ATM lebih kukuh.

“Kementerian Pertahanan akan bekerjasama dengan agensi utama pertahanan bagi memastikan BSEP bergerak seiring dengan organisasi siber pertahanan di rantau ini mahupun global,” jelasnya lagi.

Menurutnya, program bertemakan ‘Mempertahankan Ruang Siber dan Kedaulatan Negara’ itu diadakan bertujuan meningkatkan kesedaran keselamatan siber selain meluaskan kerjasama agensi kerajaan, pemain industri, ahli akademik serta komuniti siber.

“Saya berharap platform ini akan menyokong dalam membolehkan kerjasama komprehensif dan inklusif antara sektor malah idealnya menyumbang kepada konsep pertahanan komprehensif, salah satu tonggak strategik Strategi Pertahanan Malaysia,

“Dalam forum hari ini, kita akan mendengar pandangan daripada pakar, pemimpin berwawasan dan pemikir terkemuka yang akan berkongsi pengetahuan serta pengalaman mereka,” jelasnya lagi.

Siber Siaga 2023 dan Cyber DSA 2023 yang berlangsung sejak semalam ini telah berjaya mengadakan persidangan ASEAN Cyber Defence (ACDN) kali kedua.

Persidangan tersebut telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah BSEP, semalam.

Program ini turut menarik perhatian 70 syarikat untuk mengambil bahagian di samping 1,100 orang ahli-ahli profesional, 18 universiti tempatan, agensi-agensi kerajaan dan warga ATM sendiri.

Selain daripada wadah perbincangan secara ilmiah, terdapat beberapa aktiviti lain merangkumi pameran produk-produk keselamatan siber, produk integrasi pertahanan serta teknologi-teknologi baharu yang bukan sahaja untuk kegunaan dalam negara, malah boleh digunakan dengan serasi (compatible) oleh komuniti global amnya.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply