Home SemasaGlobal #Global: Ukraine berhak sertai NATO – Erdogan

#Global: Ukraine berhak sertai NATO – Erdogan

by M.Daim

ISTANBUL, 9 JUL – Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menyuarakan sokongan beliau kepada Ukraine bagi mendapatkan keahlian NATO.

Beliau menyatakan perkara tersebut semasa lawatan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy ke Turkiye.

Erdogan turut menegaskan peperangan di antara Ukraine dan Rusia perlu ditamatkan melalui jalan rundingan.

“Ukraine sememangnya berhak untuk menyertai NATO,” kata Erdogan seperti yang dilaporkan oleh media Turkiye, Anadolu Agency.

Menurut beliau, Turkiye telah menjadi tuan rumah kepada pertemuan penting antara pasukan perunding dari Rusia dan Ukraine di Istanbul.

Jelasnya, usaha Turkiye melalui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah membawa kepada Inisiatif Bijirin Laut Hitam (Black Sea Grain Initiative) yang dimeterai pada Julai 2022.

“Inisiatif ini adalah penting bagi membuka laluan penghantaran 33 juta tan bijirin kepada mereka yang memerlukan,

“Saya percaya, semua pihak yang terlibat akan melihat perkara ini sebagai tanggungjawab global,” katanya.

Erdogan menegaskan Turkiye mahu pendamaian dicapai secepat mungkin walaupun terdapat perbezaan pendapat di antara pihak yang bertelagah.

Beliau turut menyatakan pihak Ankara menolak dan membantah peperangan yang berlaku kerana ianya bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

“Semenjak Crimea diilhakkan oleh Rusia secara tidak sah pada tahun 2014, Turkiye telah menyuarakan sokongan kepada integriti wilayah, kedaulatan serta kemerdekaan Ukraine,

“Kami telah menyatakan solidariti kepada Ukraine dari segi politik, ekonomi, kemanusiaan dan bidang teknikal melalui pelbagai bantuan,

“Turkiye telah melakukan usaha secara intensif untuk menamatkan perang melalui rundingan berdasarkan undang-undang antarabangsa,” katanya.

Terdahulu, Erdogan serta Zelenskyy menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Bidang Industri Strategik di antara Ukraine dan Turkiye.

Pada masa yang sama, Erdogan menyatakan Presiden Rusia, Vladimir Putin akan mengadakan lawatan ke Istanbul pada bulan hadapan. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply