Home Semasa #SEMASA: SPR belum terima perakuan hakim bagi kekosongan kerusi Parlimen Kuala Terengganu

#SEMASA: SPR belum terima perakuan hakim bagi kekosongan kerusi Parlimen Kuala Terengganu

by Bernama

KUALA LUMPUR, 9 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum menerimaPerakuan keputusan Hakim Mahkamah Pilihan Raya berhubung kekosongan kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak kepada Bernama di sini hari ini.

“Belum terima apa-apa lagi secara rasmi,” katanya ketika ditanya sama ada SPR telah menerima notis kekosongan kerusi Parlimen itu daripada Hakim Mahkamah Pilihan Raya.

Pada 27 Jun lepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Ahmad Amzad Hashim yang mewakili PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dilaporkan berkata calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd Zubir Embong yang memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar kemenangan Ahmad Amzad itu berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Semalam peguam Wan Rohimi Wan Daud, yang mewakili Ahmad Amzad memaklumkan PAS tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan petisyen pilihan raya bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Pada PRU15, Ahmad Amzad memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dengan memperoleh majoriti 40,907 undi selepas menewaskan tiga pencabar lain termasuk Mohd Zubir. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply