Home Pertahanan dan Keselamatan Syed Saddiq: Kos naik, barang berkurang. Kapalnya tidak sampai-sampai

Syed Saddiq: Kos naik, barang berkurang. Kapalnya tidak sampai-sampai

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 6 Jun – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoalkan isu berkaitan siasatan Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ships, LCS) yang kini dilihat seolah-olah tiada perkembangan terbaharu.

Presiden Parti MUDA itu turut mempersoalkan mengapa pihak yang dahulunya lantang bersuara mengenai isu kapal tersebut mengambil pendirian untuk tidak bersuara selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tamat.

Menurutnya, isu tersebut perlu diperjelaskan kepada rakyat kerana ia melibatkan soal cukai mereka yang telah dibelanjakan bagi tujuan keselamatan negara.

“Sudah RM6 bilion dibelanjakan, satu kapal pun tak sampai. Berbilion-bilion telah dibelanjakan, tetapi yang lebih mengecewakan kerana rasuah rakyat kena tambah lagi RM2.2 bilion dan menjadikan jumlah keseluruhan RM11.2 bilion duit cukai anda semua,

“Yang lebih menjengkelkan, kapal dari 6 buah jadi 5 buah sahaja. Kos naik, tetapi kapal berkurangan. Barang tak sampai-sampai. Pelik bin ajaib,” jelasnya dalam sebuah video yang dimuat naik di laman media sosialnya, hari ini.

Syed Saddiq menambah, kapal itu sepatutnya telah pun diterima berdasarkan perancangan asal, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Dalam video yang sama, beliau turut menggesa supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi respons mengenai hal berkenaan.

Beliau turut mengingatkan pihak berkuasa tidak gentar dan menonjolkan sikap berani kerana benar apatah lagi isu yang berlaku melibatkan soal kedaulatan dan keselamatan negara.

“Dulu pung-pang-pung-pang kata nak tangkap, siasat jerung besar LCS. Rakyat turun ke jalanan, rakyat bermandi peluh dan hujan, rakyat naik turun mahkamah, kena siasat. Sekarang apa updatenya?

“Wahai sahabat-sahabatku di SPRM jangan takut dengan tangan pencatur kuasa, berani kerana benar. Rakyat berhak tahu. Kami desak accountability and transparency.

“Kawan-kawan, reformasi tidak boleh bermusim, ia tidak kisah siapapun yang menduduki tahta kuasa,” ujarnya lagi.

Ahli Parlimen Muar itu dilaporkan telah menghantar usul tergempar berhubung isu Kapal Tempur Pesisir (LCS) untuk dibahas pada sidang Dewan Rakyat yang bersidang semula hari ini.

Beliau berkata, usul itu dihantar kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, Jumaat lalu. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply