Home Pertahanan dan Keselamatan HMM: Forward Medical Team dekati, bantu mangsa gempa bumi terputus hubungan

HMM: Forward Medical Team dekati, bantu mangsa gempa bumi terputus hubungan

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=Ykf5rMxhsig[/embedyt]

Forward Medical Team (FMT) Hospital Medan Malaysia (HMM) adalah salah satu inisiatif petugas perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendekati dan membantu mangsa-mangsa gempa bumi yang melanda Turkiye awal bulan lalu.

Pegawai Perubatan, Mejar Dr. Mohd Khairul Anuar Kamaruddin menjelaskan, kumpulan yang ditubuhkan ini diaturgerakkan ke rumah penduduk di sekitar Celikhan yang terputus perhubungan ekoran gempa bumi tersebut.

“HHM mewujudkan FMT bagi membantu mangsa bumi yang terputus bekalan ubat ataupun mereka yang tidak dapat pergi ke hospital kerana berhadapan dengan kekangan daripada segi pengangkutan dan kesihatan,

“Kebanyakkan mereka juga terkandas akibat jalan untuk pergi ke hospital berhampiran telah ditutupi oleh salji dan runtuhan akibat gempa bumi,

“Kami turut memberikan bantuan awal dan memeriksa warga tua untuk disaring serta dibawa ke HMM bagi mendapatkan rawatan lanjut sekiranya diperlukan,” jelasnya kepada pemberita baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, pasukannya juga memberi ubat kepada pesakit-pesakit kronik yang terputus bekalan ubat-ubatan akibat bencana itu.

“Selain itu, kami juga pergi ke kawasan perkampungan untuk memberi bantuan hasil sumbangan daripada orang ramai seperti selimut, toto,

“Sekarang di sana musim sejuk, kebanyakkan mereka tinggal di dalam khemah, jadi mereka amat memerlukan keperluan seperti ini,” ujarnya lagi.

Dr Mohd Khairul turut menjelaskan, pasukannya berasa bersyukur kerana sepanjang menjalankan misi FMT, pihaknya mendapat kerjasama dan bantuan yang baik dari agensi-agensi tempatan untuk bergerak ke sesuatu kawasan.

“Kerana setiap perkampungan terdapat halangannya tersendiri. Seperti sedia maklum, ada yang terputus jalan perhubungan dan kebanyakan perkampungan berada di lereng-lereng gunung,

“Dengan salji yang tebal, ia agak sukar untuk melakukan pergerakan. Jadi kami memerlukan bantuan dan kerjasama daripada agensi tempatan untuk membenarkan kami ke sana,

“Kemudian, jika dah dapat kebenaran, kami akan gerakan tim kami ke perkampungan yang telah ditetapkan,” ujarnya lagi.

Patugas dan kelengkapan HMM telah diaturgerakkan ke Turkiye pada 12 Februari lalu serta terletak di Celikhan, Aditaman iaitu kira-kira 152 kilometer dari Gaziantep, kawasan paling terjejas akibat gempa bumi Turkiye.

Penugasan HMM ini telah beroperasi selama 6 minggu. Seramai 110 pegawai dan anggota HMM telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 Mac lalu.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM semasa majlis menyambut kepulangan pegawai dan anggota Tim Misi Operasi Starlight II menjelaskan, sepanjang tempoh operasi, HMM telah merawat seramai 2,415 pesakit termasuk 83 kes pembedahan manakala 159 pesakit pula diberikan rawatan melalui pendekatan FMT.

Agensi Anadolu sebelum ini melaporkan sekurang-kurangnya 41,020 orang terkorban akibat bencana gempa bumi kuat yang menggegarkan selatan Turkiye pada 6 Februari lepas.

Sebelum ini menerusi Operasi Starlight I, HMM pernah dilaksanakan di Cox’s Bazaar, Bangladesh pada 2017 bagi membantu pelarian Rohingya dari Myanmar yang melarikan diri ke Bangladesh. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply