Home Semasa Shahidan: Kapal negara asing sekat aktiviti nelayan, PETRONAS di Beting Patinggi Ali

Shahidan: Kapal negara asing sekat aktiviti nelayan, PETRONAS di Beting Patinggi Ali

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 30 Mac – Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini mendakwa pencerobohan kapal pengawal pantai asing di Beting Patinggi Ali telah menganggu gugat aktiviti perikanan dan industri di kawasan perairan

Beliau mendakwa, kehadiran kapal tersebut turut menyekat operasi cari gali minyak negara dan juga nelayan tempatan yang mencari rezeki.

“Terdapat telaga minyak Petronas yang tak boleh buat operasi sampai hari ini walaupun telah siap dibina dengan nilai berbilion ringgit,

“Sebab apa? Sebab kapal pengawal pantai negara itu tak bagi kita buat operasi,” katanya.

Beliau menambah, perkara yang sama turut menimpa nelayan tempatan.

“Nelayan kita nak pergi sana, dia (kapal pengawal pantai negara asing) suruh balik kerana datang ke kawasan negara yang berkenaan,” ujar beliau semasa berbahas di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menegaskan perkara yang berlaku merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima memandangkan Beting Patinggi Ali merupakan kawasan hak kedaulatan Malaysia.

Shahidan turut mengungkap semula tindakan kerajaan Malaysia pada satu ketika dahulu yang memperkukuhkan hak kedaulatan negara di kawasan Terumbu Layang-layang.

“Keputusan masa itu telah dibuat, suatu keputusan yang cukup bijak oleh pentadbiran negara masa itu iaitu pergi ke Terumbu Layang-Layang,

“Dan Terumbu Layang-layang itu menyebabkan dia jadi pulau tapi kita sebut terumbu sebab ia adalah terumbu,” katanya.

akil rakyat Arau itu turut mencadangkan agar kerajaan untuk memberi kapal-kapal MISC bersaiz besar yang tidak digunakan atau dilupuskan diberikan kepada Kementerian Pertahanan.

“Saya minta kapal besar yang tidak digunakan diberikan kepada Kementerian Pertahanan dan letak di Beting Patinggi Ali,

“Jadikan ia Terumbu Patinggi Ali dan jadikan sebagai pulau buatan,” katanya.

Beliau turut mendakwa, kehilangan Batu Puteh perlu dijadikan iktibar kerana hak pemilikan sesuatu kawasan pulau diputuskan oleh pihak antarabangsa berdasarkan aktiviti yang berlaku di situ.

Shahidan menambah, kapal-kapal pasukan keselamatan negara pernah tidak dapat melaksanakan rondaan mereka di kawasan tersebut mengikut jadual kerana masalah minyak.

“Pernah kapal kita tak dapat pergi ke sana mengikut jadualnya karena masalah minyak,” katanya.

Isu Beting Patinggi Ali seringkali dibangkitkan oleh wakil rakyat Arau itu semenjak Parlimen bersidang.

Pandangan beliau turut disambut oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abd Kadir yang menegaskan isu Beting Patinggi Ali tidak boleh disebut sebagai kawasan tuntutan bertindih. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply