Home Pertahanan dan Keselamatan Berapa buah LMS Batch 2 diluluskan oleh kerajaan Malaysia? – Ikmal

Berapa buah LMS Batch 2 diluluskan oleh kerajaan Malaysia? – Ikmal

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 1 Mac – Bekas Timbalan Pertahanan dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz hari ini menggesa kerajaan untuk menyatakan dengan terperinci bilangan Kapal Misi Pesisir (Littoral Mission Ship) Batch 2 yang diluluskan oleh kerajaan.

Beliau menyatakan perkara tersebut semasa Perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat.

“Ini mengambil kira pengumuman Yang Amat Berhormat Tambun (Perdana Menteri) sangat jelas di Dewan Yang Mulia ini bahawa perolehan Kapal LMS untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menggunakan bajet tahun 2023,

“Berapakah jumlah peruntukan sebenar untuk perolehan Kapal LMS ini dan berapa jumlah kapal LMS yang disetujui untuk diperolehi Kerajaan sebagaimana yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Tambun pada minggu lepas?” katanya.

Dalam masa yang sama, Ikmal turut bertanyakan mengenai prosedur perolehan LMS diperingkat Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF).

“Saya juga ingin bertanya kepada MINDEF, apakah pelaksanaan perolehan Kapal LMS pada kali ini masih menetapkan prosedur wajib supaya MINDEF memerlukan persetujuan atau keputusan akhir dari Kementerian Kewangan (MOF) dalam keputusan akhir pemilihan aset atau keupayaan yang diperlukan oleh TLDM,

“Jika ya, saya ingin mencadangkan supaya peranan MOF dalam perolehan-perolehan aset ketenteraan pada masa hadapan hendaklah dikurangkan hanya pada peringkat menetapkan siling peruntukan sahaja,” ujar beliau.

Ikmal menegaskan, aspek lain-lain hal seperti pemilihan jenis kapal LMS, pemilihan reka bentuk atau syarikat yang membina kapal tersebut dan penentuan persenjataan dan lain-lain spesifikasi aset wajarlah diberikan kepercayaan sepenuhnya kepada MINDEF bersama end-user (pengguna akhir) yang akan menggunakan aset berkenaan.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan akan ada pihak tertentu yang cuba mengaku sebagai pakar untuk mempengaruhi penentuan aset yang bakal digunakan oleh pihak tentera.

Ahli Parlimen Tanah Merah, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz gesa kerajaan memperincikan perolehan kapal LMSB2.

“Prosedur keputusan akhir atau pemilihan muktamad aset-aset ketenteraan yang diguna pakai sekarang yakni perlu mendapatkan persetujuan akhir daripada MOF hanya akan melambatkan lagi proses perolehan dilaksanakan, malah situasi ini akan memberi ruang kepada pihak-pihak tertentu yang akan cuba mengambil kesempatan untuk mengaku sebagai pakar atau subject matter expert (SME) untuk mempengaruhi penentuan aset yang bakal digunakan oleh pihak tentera,

“Situasi ini sudah pasti akan melemahkan lagi pelaksanaan projek secara keseluruhan. Ini mengambil kira situasi sama yang berlaku sebagaimana masalah ketirisan perolehan aset tentera yang lain termasuk projek Littoral Combatant Ship (LCS),” katanya.

Selain daripada itu, Ikmal turut mempersoalkan keperluan MINDEF untuk mendapatkan persetujuan dari MOF bagi menentukan aset yang akan digunakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Kenapakah perlu wujud situasi supaya MINDEF mesti mendapatkan persetujuan daripada MOF berkaitan aspek pemilihan aset yang sesuai untuk ATM sedangkan peruntukan sudahpun dipersetujui dan disediakan terlebih dahulu samada oleh pihak MOF ataupun EPU, Jabatan Perdana Menteri mengambil kira hakikat bahawa mereka ini bukanlah pakar dalam aspek persenjataan dan keupayaan ketenteran lebih-lebih lagi mereka juga bukan pengguna akhir yang akan menggunakan aset tersebut?” soal Ikmal. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply