Home Pertahanan dan Keselamatan Tiada pengenalan diri, 4 nelayan warga Myanmar ditahan di Pulau Pasir Hitam

Tiada pengenalan diri, 4 nelayan warga Myanmar ditahan di Pulau Pasir Hitam

by Muaz Rizqi

KUALA KURAU, 9 Feb – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kuala Kurau telah menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas B jenis pukat tunda bersama 4 nelayan warga Myanmar di kedudukan 7.3 batu nautika barat daya Pulau Pasir Hitam, semalam.

Pengarah APMM Zon Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid berkata, semasa melakukan rondaan rutin di perairan Larut Matang, pasukannya telah mengesan bot berkenaan ketika sedang melakukan aktiviti perikanan dan dirapati untuk melakukan pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan menemukan seramai 4 nelayan warga Myanmar termasuk tekong berumur antara 17 hingga 41 tahun itu dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah berada di atas bot,

“Pemeriksaan mendapati, bot itu memiliki lesen yang sah namun tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya dan tiada kebenaran menggajikan kru warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, jelasnya lagi dalam kenyataan.

Menurutnya, kesemua kru nelayan ditahan manakala bot dan peralatan menangkap ikan dibawa ke Jeti Zon APMM Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah dan Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu bot tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya serta tiada kebenaran menggajikan kru warga asing,” ujarnya lagi.

Dalam masa yang sama, Mohd Najhan turut mengingatkan kepada semua komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan demi kesejahteraan bersama.

Sebarang aduan, salah laku dan kecemasan yang berlaku di laut, orang ramai boleh melaporkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919 atau MERS 999 untuk maklum balas segera, tambahnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply