[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=gWzokxI2Wl4[/embedyt]
KOTA KINABALU, 9 Feb – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Kor Kesihatan Diraja (KKD) akan diaturgerakkan bagi mewujudkan hospital medan di Turkiye dalam membantu rakyat negara itu yang dilanda gempa bumi, Isnin lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Hasan berkata, kumpulan itu dijangka berlepas dari Pangkalan Udara (PU) Subang pada jam 2 pagi ini dengan menggunakan 2 buah pesawat Airbus A400 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Pihak ATM telah mendapat permohonan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) setelah berunding dengan Kedutaan Besar Turki di Kuala Lumpur, kita telah bersetuju mengaturgerakkan kor perubatan ATM untuk menghantar sepasukan hospital medan,
“Kita akan menghantar 3 Tahap 1 dan 1 Tahap 2. Tahap 1 mempunyai bilik kecemasan manakala Tahap 2 terdapat bilik pembedahan,
“Dengan kekuataan anggota seramai 106 orang dan 41 orang doktor,” katanya dalam sidang media ketika lawatan kerjanya ke Kem Lok Kawi, pada Khamis.
Beliau turut memaklumkan, pihak Turki juga telah memohon agar kerajaan Malaysia menambah seramai 60 anggota mencari dan menyelamat (SAR) kita untuk membantu mencari mangsa gempa bumi di kawasan tersebut.
“Anggota perubatan tadi akan kita hantar menggunakan 2 buah Airbus 400M ke Turki, kita belum tahu di kawasan mana keperluan yang kita pergi kerana kawasan tersebut terlampau luas,
“Kita akan serahkan sepenuhnya kepada kerajaan Turki untuk meletakkan dimana kesesuaian anggota perubatan kita untuk membina dan mengurus operasi hospital medan seperti mana yang kita pernah buat masa wabak COVID-19 dahulu,
“Mereka dijangka tinggal di Turki selama kira-kira 6 minggu untuk membantu dalam usaha mencari dan menyelamat, rawatan perubatan dan perkhidmatan kecemasan lain yang diperlukan,
“Kami membawa bekalan sendiri seolah-olah kami sedang berkemas untuk pergi berperang. Kita harus selamat dan mempunyai bekalan yang mencukupi. Kita doakan anggota kita yang menjalankan tugas disana dalam keadaan selamat dan berhati-hati,” jelasnya lagi.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kementerian Pertahanan akan mengumpulkan sepasukan doktor tentera dan paramedik yang akan menubuhkan hospital lapangan yang boleh disiapkan dalam masa 48 jam.
Sementara itu, pasukan SMART kedua yang berlepas malam tadi telah selamat tiba di Lapangan Terbang Istanbul pada 11 pagi (6 pagi waktu tempatan).
Ketibaan pasukan penyelamat kedua di bawah seliaan NADMA itu disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal.
Pasukan yang merangkumi 72 anggota daripada SMART serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu berlepas ke Turkiye tengah malam tadi (waktu Malaysia) menaiki penerbangan Turkish Airline untuk menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di negara itu.
Pasukan berkenaan dijadual akan menaiki penerbangan kedua ke Gaziantep yang terletak 1,136 kilometer dari Istanbul.
Pada 6 Februari lepas, Malaysia menghantar pasukan pertama SMART yang terdiri daripada pasukan perubatan daripada Kor Kesihatan Diraja (KKD) serta Unit K9 JBPM dan pasukan khas bahan kimia berbahaya (HAZMAT) bagi membantu misi SAR gempa bumi di selatan Turkiye sebagai tanda solidariti.
Gempa bumi besar berukuran 7.8 pada skala Richter melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada Isnin lepas telah meragut beribu nyawa di Turkiye dan Syria. Kesan gegaran gempa itu dilaporkan turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.
Angka kematian akibat gempa bumi dahsyat di selatan Turkiye meningkat kepada sekurang-kurangnya 7,108 orang manakala jumlah mangsa yang cedera ialah 40,910 orang setakat ini. -airtimes.my