Home Pertahanan dan Keselamatan Perolehan kumpulan pertama LCS telah dikurangkan kepada 5 buah

Perolehan kumpulan pertama LCS telah dikurangkan kepada 5 buah

by M.Daim

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=MW4t6epfdqs[/embedyt]

KUALA LUMPUR, 30 Jan – Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayub hari ini mengesahkan perolehan kumpulan pertama kapal tempur pesisir (Littoral Combat Ship, LCS) telah dikurangkan kepada 5 buah.

Beliau mengesahkan perkara tersebut dalam sidang media selepas menyampaikan Perutusan Ulung Panglima Tentera Laut ke-18 di Aufitorium Wisma Pertahanan, hari ini.

“Sememangnya asal 6 buah tetapi semasa kita mengemukakan permohonan semula dan dibincangkan semula perkara ini, LCS telah kita persetujui kurangkan kepada 5 sahaja,” katanya.

Abdul Rahman menambah, keputusan telah dibuat semasa kerajaan memutuskan untuk meneruskan projek pembinaan LCS.

“Projek LCS memang diteruskan seperti biasa. Pelaksanaannya adalah baik dan ada perjanjian tambahan ke-6 yang akan ditandatangani tidak lama lagi,

“Ini membolehkan proses seterusnya berjalan dan pembinaan dilaksanakan seperti dirancang,” ujar beliau.

Panglima Tentera Laut turut menyatakan harapan beliau dan TLDM untuk menerima LCS mengikut jadual.

“Kita berharap LCS diterima mengikut jadual yang ditetapkan. Kita amat kekurangan aset-aset berkeupayaan tinggi seperti LCS,

“Dengan adanya LCS ini, kita mampu untuk melaksanakan tugas-tugas dengan lebih cemerlang,” jelasnya.

Terdahulu, Abdul Rahman menyampaikan perutusan ulung beliau sebagai Panglima Tentera Laut ke-18 selepas dilantik untuk menerajui TLDM pada 27 Januari lalu.

Perutusan ulung ini dihadiri seramai 350 orang warga TLDM (Navy People) dan disiarkan secara langsung ke semua markas formasi TLDM di seluruh negara.

Turut hadir ke majlis ini adalah Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Sabri Zali; Panglima Armada Barat, Laksamana Madnya Dato’ Abu Bakar Md Ajis; Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Dato’ Pahlawan Muhammad Ruzelme Ahmad Fahimy; dan Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), Laksamana Madya Dato’ Zulhelmy Ithnain.

Pelan Transformasi 15-to-5 merupakan rancangan strategik untuk memperkemaskan aset armada TLDM sebagai satu kekuatan yang ampuh.

LCS merupakan projek perolehan yang digariskan di bawah Pelan Transformasi 15-to-5 TLDM. Mengikut perancangan keseluruhan, TLDM menggariskan keperluan 12 buah kapal LCS sebagai salah satu komponen penting pelan transformasi tersebut.

Pelan 15-to-5 dirancang untuk memperkemaskan postur aset TLDM yang pada ketika itu terdiri daripada 15 buah kelas kepada 5. Selain LCS, TLDM telah menggariskan 4 kelas lain iaitu Littoral Mission Ship (LMS), New Generation Patrol Vessel (NGPV), Kapal Selam dan Multi Role Support Ship (MRSS).

Projek LCS bernilai RM6 bilion ini telah dianugerahkan kepada Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC) dan Naval Group pada tahun 2011. Pada ketika itu, sebanyak 6 buah kapal LCS dirancang untuk dibina dengan menggunakan rekabentuk Gowind.

Perolehan ini mengalami kelewatan apabila kapal-kapal tersebut lewat disiapkan berbanding jadual.

Pada April tahun lalu, Menteri Pertahanan pada ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyatakan persetujuan Jemaah Menteri untuk meneruskan projek LCS.

Siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara pada tahun lalu mendedahkan RM1.4bilion dana projek tersebut telah diseleweng.

Selain daripada itu, bekas pengarah urusan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) didakwa pecah amanah dana ebuah syarikat perkapalan berjumlah RM21.08 juta berkaitan perolehan projek pembinaan LCS.

Pada akhir tahun lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan mengulangi komitmen kerajaan untuk meneruskan pembinaan LCS sehingga kapal tersebut siap. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply