Home Semasa Bakar al-Quran di Sweden: Malaysia gesa perangi Islamofobia

Bakar al-Quran di Sweden: Malaysia gesa perangi Islamofobia

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 23 Jan – Malaysia menggesa kerajaan Sweden untuk mengambil tindakan segera terhadap tindakan Ahli Politik Sweden-Denmark, Rasmus Paludan yang bertindak membakar senaskhah al-Quran di Stockholm, Sweden, kelmarin.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menegaskan, kerajaan Sweden perlu mengambil langkah serius untuk memerangi sentimen Islamofobia yang semakin membimbangkan di negara itu.

Zambry berkata, Malaysia juga mengutuk sekeras-kerasnya tindakan dilakukan Paludan yang disifatkannya ekstrim itu.

Menurut beliau, tindakan keji itu jelas merupakan serangan secara terang-terangan terhadap Islam dan umat Islam di seluruh dunia.

Malah, Zambry menegaskan, ia telah melampaui batas moral dan norma hak kebebasan bersuara.

“Tindakan kerajaan Sweden untuk tidak mengambil sebarang tindakan bagi menghentikan aktiviti yang melampau ini, walaupun terdapat beberapa bantahan daripada pelbagai pihak tidak boleh diterima sama sekali dan boleh memberi eksan serius terhadap hubungan antara Sweden dan umat Islam di seluruh dunia,

“Ketaksuban, perkauman dan penodaan keji terhadap kitab suci itu tanpa mengira agama adalah tidak boleh diterima dan wajar dikutuk,

“Malaysia mengulangi bahawa kebebasan bersuara tidak boleh disamakan dengan kebebasan menghina. Ia bertentangan dengan prinsip sejagat dalam menghormati agama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam masa yang sama, beliau turut menjelaskan, Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa untuk bekerjasama memerangi sentimen Islamofobia dan menggalakkan hubungan harmoni serta kewujudan bersama secara aman dalam kalangan individu yang berbeza agama dalam komuniti global yang pelbagai.

Tambahnya, Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan komuniti antarabangsa bagi mencegah dan menghapuskan segala bentuk keganasan serta kebencian terhadap Islam termasuk sentimen islamofobia dan ekstremisme. -airtimes.my

Rasmus Paludan, ketua parti sayap kanan Denmark Stram Kurs dilaporkan mendapat kebenaran untuk membakar al-Quran pada Sabtu di luar Kedutaan Turki di Stockholm yang mencetuskan kemarahan dunia Islam. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply