Home Semasa Pemilihan UMNO: Saya terbuka, sedia dicabar – Ahmad Zahid

Pemilihan UMNO: Saya terbuka, sedia dicabar – Ahmad Zahid

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 5 Jan – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, beliau bersedia untuk dicabar oleh sesiapa sahaja yang berhasrat untuk merebut jawatan nombor satu parti itu pada pemilihan parti akan datang.

Tegasnya, sebelum ini beliau juga pernah dicabar dalam pemilihan pada 2018, namun kedua-dua pencabarnya gagal memperolehi undi yang banyak.

“Dulu pun saya dicabar. Dua orang cabar saya. Undi kedua-dua orang yang mencabar saya itu masih belum sama dengan undi yang saya perolehi,

“Bukan saya riak tapi itu sudah terbukti pada 2018. Malah, kombinasi undi kedua-duanya itu sangat kurang berbanding dengan undi yang saya perolehi,

“Bukan riak, bukan sombong, bukan takbur, bukan ujub tapi itu terbukti pada tahun 2018,” katanya pada Khamis.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian bagi mengulas sama ada pertandingan untuk jawatan nombor satu dan dua UMNO akan dibuka untuk dipertandingkan dalam pemilihan kali ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan kuasa untuk menentukan kepimpinan parti terletak kepada kuasa dan suara perwakilan parti di seluruh negara.

“Saya mempunyai pendirian bahawa kuasa untuk menentukan kepimpinan terletak pada kuasa dan suara perwakilan di seluruh negara,

“Terdapat hampir 160,000 perwakilan yang mewakili cawangan untuk menentukan sama ada kepimpinan sedia ada atau pun kepimpinan yang berubah, untuk kita pastikan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus relevan dalam pentas politik negara,

“Maka kuasa mutlak itu adalah kuasa perwakilan,” tambahnya lagi.

Pemilihan UMNO dijangka diadakan pada tahun ini dan dengan desakan supayan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tetap dipertandingkan yang akan menimbulkan pelbagai cerita. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply