Home Pertahanan dan Keselamatan 480 PATI Filipina diusir pulang ke negara asal

480 PATI Filipina diusir pulang ke negara asal

by Nurulhuda

SANDAKAN, 19 Nov – Seramai 480 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal mereka melalui Pelabuhan Sandakan pada Rabu

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, semua PATI itu membabitkan 340 lelaki, 82 wanita dan 58 orang kanak-kanak.

Beliau berkata, semua PATI ini ditahan di Depot Imigresen Tawau sebelum dipindahkan menggunakan pengangkutan laut terus ke Zamboanga, Filipina.

“Mereka ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,

“Hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sitti Saleha turut menjelaskan, jumlah keseluruhan tahanan PATI dari semua warganegara yang telah dipindahkan balik ke negara asal adalah 4,658 orang.

Jumlah ini merangkumi warganegara Filipina seramai 3,015 dan warga Indonesia seramai 1,427 diikuti lain-lain warganegara seramai 16 orang.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan agar semua warga asing untuk memastikan memiliki dokumen perjalanan sah dan permit kerja yang dibenarkan sebelum masuk ke negara ini.

“Jabatan Imigresen Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI setelah mereka melalui semua tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara serta mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal masing-masing,” ujarnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply