Home Pertahanan dan Keselamatan 14 PATI Indonesia guna cap Imigresen palsu dicekup

14 PATI Indonesia guna cap Imigresen palsu dicekup

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 16 Nov – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang memasuki Malaysia melalui laluan haram dalam satu operasi khas yang dijalankan di hentian bas Jalan Duta, semalam.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Sri Khairul Dzaimee Daud berkata, anggota dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM telah melaksanakan operasi pada jam 10 pagi setelah menerima maklumat awam terdapat sekumpulan PATI yang akan dihantar ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas.

Beliau berkata, kesemua PATI dipercayai baru masuk ke negara ini secara tidak sah melalui laluan haram di sekitar Chuping, Perlis.

Menurutnya, pasukan operasi telah mengesan bas yang membawa sekumpulan 14 PATI tersebut di lebuhraya dan bertindak mengekori sehingga ke hentian bas Jalan Duta Kuala Lumpur.

“Sebaik tiba di hentian bas Jalan Duta, pasukan operasi melakukan pemeriksaan ke atas penumpang bas tersebut. Hasil pemeriksaan telah menahan 9 orang lelaki dan 5 orang perempuan kesemuanya warga Indonesia berusia antara 15 hingga 49 tahun,

“Semakan lanjut ke atas pasport kesemua mereka mendapati ada cap keluar Imigresen Thailand dan cap masuk Imigresen Malaysia (Padang Besar) yang disyaki palsu,

“Cap masuk imigresen palsu digunakan di dalam pasport mereka bertujuan mengaburi pihak berkuasa kononnya mereka masuk secara sah dan melalui pemeriksaan imigresen,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Khairul Dzaimee menjelaskan, 8 orang daripada mereka dikesan memiliki rekod senarai hitam daripada memasuki Malaysia berdasarkan kesalahan lampau.

“Selebihnya tidak memiliki sebarang rekod kemasukan,

“Modus operandi sindiket adalah dengan membawa PATI menaiki pesawat dari Indonesia ke Thailand sebelum masuk ke Malaysia melalui laluan haram di sempadan Malaysia -Thailand dengan berjalan kaki,

“Kemudian mereka akan menaiki kenderaan ke lokasi yang ditetapkan untuk menaiki bas menuju Kuala Lumpur,” katanya.

Tambahnya, kesemua mereka mengaku membayar kepada ejen di negara mereka sebanyak RM5,000 hingga RM6,000 untuk urusan kemasukan ke negara ini.

“Kesemua mereka juga mengaku tidak membuat pemeriksaan imigresen semasa masuk dan hanya ejen yang menguruskan pasport mereka semasa berada di rumah penampungan,

“Tujuan mereka masuk adalah untuk bekerja semula di tempat lama mereka bekerja di sekitar Kuala Lumpur dan bekerja dengan majikan baru yang telah diatur awal,” ujarnya.

Kesemua yang diperiksa ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Mereka ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan di bawah akta yang sama. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply